Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf kepada pengguna susulan gangguan teknikal yang menjejaskan siaran langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Senegal menerusi platform RTMKlik awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, masalah berkenaan menyebabkan sebahagian pengguna tidak dapat mengikuti siaran dengan lancar, namun tindakan pemulihan segera telah diambil oleh pasukan teknikal bersama penyedia teknologi yang terlibat.
“RTM dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf atas gangguan teknikal yang berlaku pada platform RTMKlik ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan antara Perancis dan Senegal pada pukul 3.00 pagi tadi.
“Gangguan tersebut berpunca daripada masalah teknikal luar jangka yang menyebabkan sebahagian pengguna mengalami kesukaran untuk mengakses siaran secara lancar melalui RTMKlik. Pasukan teknikal RTM bersama pihak penyedia teknologi telah mengambil tindakan bagi memulihkan perkhidmatan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ashwad, RTM menghargai kesabaran dan sokongan yang diberikan penonton sepanjang insiden itu berlaku serta komited memastikan pengalaman tontonan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.
“RTM amat memahami kekecewaan para peminat sukan bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut. Pihak kami amat menghargai kesabaran, sokongan dan maklum balas yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berlaku.
“Sebagai penyiar rasmi kejohanan paling berprestij dunia ini, RTM sentiasa komited untuk memastikan pengalaman tontonan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Ashwad berkata, RTM akan terus memperkukuh infrastruktur dan sistem penyiaran digital bagi memastikan siaran baki perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 dapat disampaikan dengan lebih stabil dan berkualiti.
“Langkah-langkah pengukuhan infrastruktur dan sistem penyiaran digital dijalankan setiap masa bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal daripada berulang.
“RTM sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan (94 siaran langsung, 10 siaran tertunda) Piala Dunia FIFA 2026 dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia dengan lebih lancar dan berkualiti,” katanya.