Pelakon terkenal, Fazura berkata dia menyimpan hasrat untuk ke Itali bersama pasangan hidupnya sekiranya dipertemukan jodoh di masa akan datang.
Menerusi sesi siaran langsung di media sosial, Fazura berkata dia impian tersebut sudah disimpan sejak usia remaja lagi namun masih belum menjadi kenyataan.
BACA: “Doakan Saya” – Fazura Bersyukur Dikelilingi Insan Positif
“Sejak remaja lagi, saya selalu berkata bahawa suatu hari nanti saya ingin pergi ke Itali bersama cinta hati saya. Namun sehingga kini, impian itu masih belum tercapai.
“Sudah banyak kali merancang untuk ke Itali, tetapi masih belum menjadi kenyataan. Kadang-kadang perkara yang kita impikan dan doakan dengan bersungguh-sungguh tidak semestinya berlaku dengan segera.
“Ketika usia 20-an dan awal 30-an dahulu, saya sangka semuanya akan berlaku dengan cepat, tetapi hakikatnya tidak begitu. Hingga hari ini, walaupun pelbagai perancangan telah dibuat, saya masih belum menjejakkan kaki ke Itali,” katanya.
Bagaimanapun, Fazura berkata meskipun dia tidak dapat melakukan impian berkenaan bersama pasangan tidak bermakna seseorang itu tidak boleh menikmati kehidupan atau mengejar kebahagiaan secara sendiri.
“Mungkin saya akan bertemu dengan cinta hati saya suatu hari nanti. Namun jika ditakdirkan saya tidak bertemu jodoh atau tidak berkahwin, adakah itu bermakna saya tidak boleh pergi ke Itali seorang diri?
“Jika Allah menghadirkan seseorang dalam hidup saya, itu adalah ketentuan-Nya. Namun jika tidak, tidak bermakna saya tidak boleh meneruskan hidup dan merealisasikan impian saya sendiri.
“Pada akhirnya, saya sendiri adalah insan yang perlu menyayangi diri saya. Saya sentiasa akan menjadi cinta pertama dan utama dalam hidup saya, walau apa pun yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Fazura turut berharap agar dia dipertemukan dengan pasangan yang baik serta mampu membimbingnya. Tambahnya lagi, apabila pasangannya boleh memimpin dia boleh menjadi lebih tenang.
“Insya-Allah, saya berharap dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik, yakin dengan dirinya, berani, bertanggungjawab, tegas dan mampu membimbing saya.
“Selama bertahun-tahun saya terbiasa memikul banyak tanggungjawab dan memainkan peranan yang kuat dalam hidup. Kini, saya juga ingin merasai menjadi seorang wanita yang boleh bersandar kepada pasangannya.
“Saya mengimpikan seorang lelaki yang mampu memimpin hubungan dengan baik. Apabila dia memimpin, saya boleh berehat dan menikmati sisi kewanitaan saya. Saya boleh menjadi lebih manja, lebih tenang dan lebih selesa bersamanya. Itulah yang saya harapkan dan impikan,” katanya.
Sumber: Utusan