Warga Selangor yang layak kini boleh memohon Subsidi Tambang Pengangkutan Awam sebanyak RM30 sebulan selama enam bulan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibuka bermula 1 Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada pakej bernilai RM131 juta yang diumumkan Kerajaan Selangor sebelum ini bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Berita baik buat warga Selangor. Sebagai sebahagian dari Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM 131 juta yang telah saya umumkan sebelum ini, permohonan Subsidi Tambang Pengangkutan Awam selama 6 bulan telah mula dibuka pada 1 Jun 2026.

“Gunakan peluang ini sebaiknya dan buat persediaan lebih awal melalui aplikasi NINE.

“Mudah mudahan bantuan ini dapat memudahkan perjalanan harian, di samping menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau.

Bantuan berkenaan ditawarkan kepada 50,000 pemohon terawal, tertakluk kepada syarat serta kelulusan yang ditetapkan.

Subsidi itu boleh digunakan untuk pengangkutan awam termasuk perkhidmatan Van DRT, bas dan kereta api bagi membantu mengurangkan beban kos perjalanan harian rakyat.

Bagi membuat permohonan, pengguna perlu memuat turun aplikasi NINE dan melengkapkan proses pengesahan identiti secara elektronik (eKYC) bagi memastikan urusan permohonan berjalan lancar.

Kerajaan negeri memaklumkan inisiatif tersebut adalah antara langkah di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang melibatkan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global serta krisis geopolitik di Asia Barat.

Selain mengurangkan kos perjalanan harian, program itu turut bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Selangor.

KREDIT GAMBAR UTAMA: UTUSAN MALAYSIA

×