‘Lubuk’ Rohingya Di Hulu Langat Akan Dirobohkan – MB Selangor

Bangunan penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat yang tular di media sosial akan dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran di kawasan berkenaan bukanlah perkara baharu kerana pelbagai penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan sejak 2016.

“Berhubung dengan bangunan kediaman bertingkat yang dimaksudkan, satu tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook.

Menurut Amirudin, antara tindakan yang telah diambil termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan serta tindakan perobohan melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Beliau berkata, PDT Hulu Langat turut mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada pemilik struktur terbabit dalam beberapa siri tindakan penguatkuasaan sejak 2017.

Selain itu jelasnya, operasi perobohan bersepadu juga pernah dilaksanakan bersama beberapa agensi termasuk MPKj, LUAS, PDRM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pada masa sama, MPKj turut mengeluarkan notis serta tawaran kompaun pada 2016, 2017, 2019 dan 2021 di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, selain mengeluarkan arahan mengikut Seksyen 72(1)(b) dan 72(1)(c) akta sama terhadap pihak yang mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.

Amirudin berkata, LUAS turut membuka kertas siasatan pada tahun lalu di bawah Seksyen 43(4) dan Seksyen 70(3) Enakmen LUAS 1999 berhubung pembinaan struktur berkenaan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa menerusi OPS Kutip, JIM bersama PDRM telah menahan 42 warga asing yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri menegaskan akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang sedia ada.

Amirudin turut mengingatkan orang ramai supaya merujuk kepada fakta serta kenyataan rasmi pihak berkuasa dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan di media sosial.

KREDIT GAMBAR UTAMA: BERITA HARIAN

×