Pelakon Siti Khadijah berkata dia kurang selesa untuk melakonkan babak berkemban dalam filem Khadam serta meminta pihak produksia sediakan kardigan khas bagi menjaga penampilannya.
Memetik BH Online, Khadijah berkata dia terbuka untuk berbincang dengan pihak produksi jika ada babak atau kostum yang kurang sesuai dengan prinsipnya.
BACA: Siti Khadijah Berang Foto Disunting Guna AI Bersama Daddy Ash
“Memang ada babak berkemban dan mereka ada tanya saya sama ada okey atau tidak. Sudah tentu saya tak okey, jadi saya bertanya sama ada boleh tutup atau lapik dengan sesuatu.
“Kita juga mahu nampak realistik. Jadi apa yang mereka boleh buat adalah menyediakan kardigan khas untuk saya,” katanya.
Sementara itu, Khadijah berkata dia berharap penonton memahami keputusannya bagi menyesuaikan babak dengan keselesaan dirinya.
“Saya harap bila netizen tengok filem ini nanti, mereka faham kenapa ada kardigan itu. Memang zaman dulu tak ada kardigan, tetapi ia diwujudkan bagi memenuhi keperluan penggambaran.
“Saya juga seorang yang menjaga penampilan dan tak pernah berlebih-lebihan. Jadi apabila ditawarkan babak berkemban, memang saya akan letakkan syarat tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Khadijah juga tetap dengan pendiriannya untuk menukar penampilan seandainya pakaian yang perlu dipakai dilihat mencolok mata.
“Kalau ada kostum yang terlalu ketat atau seksi, saya akan minta supaya ditukar. Rasanya orang yang pernah bekerja dengan saya pun sudah tahu mengenai perkara itu.
“Tetapi kalau ia benar-benar tuntutan kerja atau watak, saya akan cuba berbincang. Bagi saya semua perkara boleh dibincangkan dan dicari jalan tengah,” katanya.
Sumber: BH Online