Pelakon Adam Corrie berkata usianya bakal mencecah 60 tahun berapa tahun lagi, dia kini lebih banyak menumpukan untuk mengumpul bekalan saham akhirat.
Memetik HibGlam, Adam berkata antara usaha yang dilakukan sejak lebih 10 tahun lalu membantu lebih 30 individu memeluk Islam.
BACA: “Mayatnya Ditemui Sudah Keras” – Adam Corrie Tak Sambut Tahun Baru Cina
“Alhamdulillah selama 19 tahun saya masuk Islam, 30 lebih orang saya dah Islamkan. Itulah bekalan yang saya ada walaupun belum tentu saya punya.
“Bila orang kata usia sudah menghampiri ‘bau tanah’, saya lebih banyak memikirkan tentang mencari bekalan untuk akhirat sebab kita tidak tahu apa yang akan kita tinggalkan di dunia ini untuk anak dan isteri.
“Tetapi, walaupun rasa sudah ada bekalan, belum tentu menjadi milik kita kerana semuanya tetap bergantung kepada Allah,” katanya.
Sementara itu, Adam berkata tiada apa yang perlu dibanggakan dalam membantu individu untuk memeluk Islam kerana hidayah tersebut adalah hak mutlak Allah.
“Apabila kita membantu seseorang memeluk Islam, kita tidak boleh terlalu berbangga atau menunjuk kepada orang lain.
“Kita tidak boleh rasa lebih baik daripada orang lain kerana perkara itu bukan datang daripada diri kita. Semuanya adalah ketentuan Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata peranannya mendekati golongan mualaf sebagai satu amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
“Allah yang menggerakkan hati mereka, Allah juga yang menggerakkan hati saya sehingga kami dipertemukan dan saya membantu mereka mengucapkan syahadah.
“Jadi, saya anggap itu sebagai tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Muslim untuk membantu mereka memahami Islam,” katanya.
Sumber: HibGlam