Penyanyi terkenal, Ameng berkata kesalahan terbesar pernah dilakukan ketika perkahwinan terdahulu adalah terjebak dengan bahan terlarang.
Memetik Oh Bulan, Ameng menjelaskan mengenai kenyataan bekas isterinya, Datuk A Aida yang menghalalkan segala dosanya.
BACA: “Buka Buku Baru, Saya Halalkan Semua Dosa Ameng” – A Aida
Menurut Ameng lagi, disebabkan pengambilan bahan terlarang itu membuatkan dia lupa tanggungjawab pada keluarga sehingga menjejaskan kerjayanya.
“Kesalahan saya dengan A. Aida adalah disebabkan dadah, tiada perkara lain. Kesan daripada itu membuatkan saya lupa tanggungjawab terhadap keluarga dan merosakkan kerjaya.
“Apabila kerjaya terjejas, rezeki pun terjejas, dan akhirnya keluarga turut terkesan. Pada ketika itu, A. Aida sudah hilang keyakinan terhadap saya dan merasakan tiada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, Ameng bersyukur isterinya, Sabariah Zakaria yang setia berada di sisinya serta mengakui banyak dosa sehingga nekad untuk pulih.
“Saya hanya minta kepada Tuhan supaya saya pulih. Saya sedar saya banyak buat dosa, terutama kepada isteri saya, Sabariah.
“Dulu setiap kali saya bawa kawan-kawan ke rumah dan terlibat dengan aktiviti tidak sihat, isteri saya akan membaca yasin untuk menenangkan diri kerana dia tahu keadaan saya ketika itu sukar dikawal.
“Selepas keluar dari penjara, kalau saya masih tidak berubah, memang saya ini teruk. Itu yang buatkan saya nekad untuk pulihkan diri,” katanya.
Terdahulu, Aida terharu dengan kesungguhan bekas suaminya yang membantu dalam persembahan anak mereka, Azeva serta menghalalkan segala dosa Ameng terhadapnya.
Sumber: Oh Bulan