Suami kepada pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah iaitu Mohd Zulfadhli Khiruddin antara 15 sukarelawan yang ditahan ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Menerusi perkongsian di Instagram, Yatt berkata dia dan keluarga masih belum mengetahui mengenai keberadaan suaminya serta sukarelawan yang lain.

BACA: Yatt Hamzah Meraung Tiga Anak Jatuh Sakit Serentak

“Suami saya, Mohd Zulfadhli Khiruddin, salah seorang peserta Misi Sumud Flotilla, telah ditahan oleh tentera Israel (IDF) pada tengah malam tadi.

“Sehingga saat ini, saya bersama seluruh keluarga masih tidak mengetahui keberadaan serta keadaan beliau dan sahabat-sahabat misi lain,” katanya.

Sementara itu, Yatt mengecam tindakan rejim zionis susulan sukarelawan GSF yang diculik di perairan antarabangsa serta ia merupakan satu jenayah.

“Mereka diserbu dan diculik di perairan antarabangsa dan ini merupakan satu bentuk jenayah yang wajib dikutuk sekeras-kerasnya.

“Saya turut memohon semua yang membaca kenyataan ini agar mendoakan keselamatan para peserta misi. Jika tidak keberatan, mohon juga bersama-sama melakukan solat hajat agar Allah melindungi mereka semua.

“Saya bagi pihak suami mohon maaf kepada semua yang mengenalinya, atas salah silap suami saya dan sekali lagi mohon doakan keselamatan dan kesejahteraan suami saya,” katanya.

×