Pelakon Amir Raja Lawak berkata sehingga kini dia masih belm mendapat bayaran daripada sebuah stesen televisyen terkenal sehingga bapanya, Azmi Deris, meninggal dunia malam tadi.
Memetik Sinar Harian, Amira berkata sebelum ini dia terdesak untuk mendapatkan baki bayaran sebanyak RM18,000 untuk menampung kos rawatan bapanya yang menghidap kanser usus.
BACA: Keadaan Bapa Makin Uzur, Amir Raja Lawak Rayu Lunaskan Baki Bayaran RM18,000
“Perjuangan untuk dapatkan duit itu setakat ini saya belum dapat apa-apa daripada pihak berkenaan. Tindakan selepas ini, saya tidak ada fikir apa-apa lagi. Biarlah dulu, harap bayarlah. Kerana sebelum ini saya terdesak untuk kegunaan abah, beli katil dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun, Amir bersyukur kerana ramai pihak tampil untuk meringankan bebannya serta keluarga antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan ramai lagi.
Menurut Amir, sepatutnya dia ke Kuala Lumpur pada jam 2 petang hari ini bagi menghadiri sidang akhbar Muzikal Lawak Super Star.
“Saya juga mendapat tawaran berlakon filem bersama Prof A.Razak Mohaideen. Walaupun begitu, saya akan tetap tinggal di Kelantan dan berulang alik ke Kuala Lumpur jika ada peluang pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Amir berkata dia meluahkan rasa syukur dapat menjaga menjaga bapanya yang diuji dengan kanser usus tahap empat dengan sebaik mungkin.
“Sebelum akhir hayatnya, abah ada minta hendak makan nasi kerabu, saya tunaikan walaupun dia hanya makan sesuap dua sahaja. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian