Pelakon Rafidah Ibrahim berkata dia bersama keluarga kini tiada tempat tinggal susulan operasi pengosongan kediaman penduduk Kampung Sungai Baru.
Rafidah turut mendakwa, pemaju bersungguh-sungguh mahu memastikan penduduk diusir dan keluar daripada kawasan itu bagi tujuan pengambilalihan tanah.
“Terus-terang cakap, saya, keluarga dan anak tak tahu nak pergi ke mana. Rumah saya dah tentu dirobohkan (rumah flat), sekarang saya menumpang di rumah jiran,” katanya.
Malah, Rafidah mendakwa pemaju sebelum ini pernah mengupah gengster untuk mengusir penduduk dan kali ini menggunakan khidmat polis pula.
“Tak kisahlah katanya sedang bertugas atau apa, mana hati perut? Sepatutnya hari ini pengosongan, tetapi mereka pecahkan dan bawa keluar semua barang, main letak sesuka hati.
“Saya nak tanya adakah pemaju ini lebih berkuasa daripada kerajaan sebab saya tengok macam ada lesen besar.
“Sepatutnya ada rayuan penangguhan di mahkamah pada 3 Oktober, tak lama kurang sebulan sahaja lagi. Tetapi, pendaftar letak 11 September (hari ini) untuk pengosongan,” katanya.
Kekecohan yang berlaku semalam tercetus apabila sekumpulan penduduk enggan memberi kerjasama semasa operasi pengosongan Kampung Sungai Baru.
Sumber: KiniTV