“Selepas Ini Tiada Lagi Doa Daripada Seorang Ayah” 

Penyanyi Ziana Zain berkata dia bukan sahaja kehilangan bapanya, Zain Abdullah malah selepas ini tiada lagi doa daripada seorang ayah.

Memetik Utusan, Ziana berkata pemergian arwah membuatkan dia terasa kehilangan kerana bapanya yang menjadi sumber kekuatan dan tunjang belakang kerjaya seninya.

BACA: 3 Jam Disoal Siasat SPRM, Ziana Zain Bukan Suspek Hanya Bantu Siasatan

“Saya sedih kerana selepas ini tiada lagi doa daripada seorang ayah. Tiada figura ayah yang mahu mendoakan saya di dunia ini. Sekarang hanya ada doa daripada mak sahaja.

“Sebagai anak, sudah pasti kita mahukan doa daripada kedua ibu bapa. Sekarang tiada lagi doa ayah, itu yang buat saya betul-betul sedih. Selama ini saya anggap ayah sebagai pengawal, dia sentiasa menjaga saya,”katanya.

Sementara itu, Ziana berkata dia akan berpegang dengan pesanan arwah bapanya untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta.

“Namun, saya perlu kuat. Saya masih ada mak, adik-beradik, anak-anak dan keluarga. Kami sebuah keluarga yang sangat bersatu.

“Arwah ayah selalu pesan, kita satu keluarga perlu sentiasa ‘united’ walau apa jua keadaan sekali pun,” katanya.

Terdahulu, arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di Kayangan Heights, Shah Alam. Difahamkan, Allahyarham menghidap kanser prostat sejak Disember tahun lalu.

Sumber: Utusan

×