Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan dia turut pernah menjadi mangsa buli ketika di zaman persekolahan serta masih ingat lagi nama pelajar lelaki yang membulinya.
Memetik BH Online, Bella berkata meskipun insiden itu berlaku ketika berusia 13 tahun namun dia masih ingat lagi kerana ianya memberi kesan sehingga ke hari ini.
BACA: “Ayden Dibuli, Ada Yang Panggil Dia Anak Yatim Di Sekolah Agama”
“Saya pernah kena tolak dekat dinding oleh budak lelaki yang nak minta nombor telefon di kantin sekolah ketika di tingkatan satu. Saya kena buli bukan oleh pelajar lelaki sahaja, tetapi pelajar perempuan juga kerana mungkin saya lembut orangnya.
“Ada satu kes, saya dibuli di mana mereka ambil topi yang saya pakai dan baling antara satu sama lain dan saya tak boleh ambil semula topi tu hingga saya menangis.
“Kejadian buli ini beri kesan yang sangat teruk pada diri kita kerana bayangkan saya masih ingat nama budak lelaki yang juga pelaku itu sampai hari ini,” katanya.
Sementara itu, ketika di sekolah rendah Bella turut dibuli kerana bercakap dalam bahasa Sabah namun dia tidak hanya berdiam diri sebaliknya lawan semula.
“Masa di sekolah rendah pun saya pernah kena buli kerana cakap bahasa Sabah dan murid lain tidak faham dan anggap saya dari Indonesia pula.
“Saya lawan balik tapi tak semua orang ada keberanian itu, cuma sama mahu tegaskan kejadian buli sama ada kecil atau besar kita kena beri tahu dan jangan simpan sahaja,” katanya.
Sumber: BH Online