“65 Tahun Jadi Anak Seni, Ini Anugerah Pertama Saya”

Pelakon A. Galak sebak dan terharu apabila diberikan pengiktirafan menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung malam tadi.

Pelakon berusia 84 tahun itu dalam ucapannya berkata anugerah tersebut merupakan trofi pertamanya selepas 65 tahun bergelar anak seni.

BACA: Yusof Haslam Batal Percutian Keluarga Ke Oversea, Guna Duit Bantu Mangsa Banjir

Berkongsi lanjut, A. Galak berkata dia mula bekerja di Jalan Ampas pada usia 19 tahun sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Syukur atas anugerah ini, saya ucapkan jutaan terima kasih. Ini kali pertama saya terima anugerah selepas 65 tahun bekerja dalam industri sejak Malay Film Productions Jalan Ampas, Singapura.

“Saya mula bekerja di Jalan Ampas pada usia 19 tahun sehingga studio tersebut ditutup pada tahun 1967 sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan mula berlakon di beberapa syarikat produksi Skop Production selama 40 tahun,” katanya.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Gerak Khas itu turut menitipkan penghargaan kepada mereka yang terlibat sepanjang dia berada di bidang seni serta memberi peluang kepadanya.

“Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang memberi peluang kepada saya. Terima kasih banyak atas budi kalian dan akan saya kenang hingga akhir hayat,” katanya.

A. Galam menerima wang tunai berjumlah RM10,000 berserta trofi menerusi pengiktirifan berkenaan.

SUMBER: Kosmo

×