Penerbit Datuk Yusof Haslam membuat keputusan membatalkan perancangan percutian bersama keluarganya ke luar negara susulan musibah banjir teruk melanda di beberapa negeri.
Memetik Harian Metro, Yusof berkata dia melihat tidak sesuai untuk ke luar negara semata-mata untuk bercuti melihat pada keadaan musim hujan dan banjir yang berlaku.
BACA: “Anak-Anak Saya Cita-Cita Nak Jadi Ustazah” – Syafiq Yusof
“Pada ketika ini, hari-hari dalam keadaan hujan dan banjir berlaku yang menyebabkan rakyat Malaysia pun muram. Jadi, kami (sekeluarga) buat keputusan batalkan perancangan percutian. Tak pergi mana-manalah.
“Tahun lalu pun, kita dah pergi ke Jepun bercuti sekeluarga. Jadi, untuk tahun ini (bercuti) kita berehatlah. Kita tangguhkan dulu dan pada tahun depan (2025) pun kita belum fikirkan lagi, fikir kemudian nanti,” katanya.
Sementara itu, Yusof berkata memang tidak seronok untuk dia dan keluarga ke luar negara bercuti sedangkan ada kakitangannya yang turut terlibat dengan musibah berkenaan.
“Jadi, lebih baik duit yang ada itu disedekahkan untuk bantu mereka. Sebelum ini, pada 2014 dulu ketika berlaku banjir teruk di Kuala Krai, saya bersama kumpulan bantuan pergi ke sana (lokasi banjir) untuk menolong keluarga staf yang kehilangan rumah dan rosak akibat bencana alam itu.
“Jadi, kali ini pun saya rasa tak manislah untuk kita sekeluarga ke luar negara bercuti sebab ada antara staf syarikat saya yang bersedih kerana ditimpa musibah berkenaan. Lebih baik saya bantu mereka saja,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof berkata pihaknya akan ke Pantai Timur melakukan aktiviti bantuan sumbangan pada tahun depan sebaik saja keadaan banjir semakin pulih.
SUMBER: Harian Metro