Pelakon Fadlan Hazim berkata dia mengambil pendekatan menghadkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita yang bergandingan dengannya.
Memetik Harian Metro, Fadlan berkata dia mahu menjaga hati pasangannya dan tunangnya, Aiya Mukhamedsalova juga kini berpakaian lebih sopan.
BACA: Bertunang Dengan Wanita Kazakhstan, Fadlan Perlu Lalui Ujian Kejantanan
“Sejak bertunang, saya mengambil pendekatan untuk kurangkan bersentuhan dengan gandingan. Apatah lagi, saya kini berlakon dengan Ayda Jebat yang juga merupakan isteri dan juga seorang ibu.
“Bukan permintaan tunang, namun saya sendiri yang ingin menjaga hatinya, apatah lagi kami sudah ke fasa seterusnya. Dan Insya Allah akan mendirikan rumah tangga.
“Malah, dia juga sudah berpakaian lebih sopan berbanding sebelum ini. Biarpun beragama Islam, namun budaya dan gaya hidup mereka berbeza berbanding kita disini,” katanya.
Dalam pada itu, Fadlan berkata dia belum mempunyai tarikh untuk perkahwinannya namun majlis dijangka diadakan pada penghujung tahun ini.
“Belum ada tarikh tetap lagi. Sekarang saya sedang menguruskan dokumen sebab prosedur berkahwin dengan orang asing agak rumit.
“Sudah sampai masanya untuk saya berkahwin. Semua rakan sudah beristeri dan usia saya pun bukan muda lagi,” katanya.