Pelakon Azri Iskandar mengakui bukan mudah untuk menyesuaikan diri menjadi seorang duda apatah lagi selepas 19 tahun hidup bersama pelakon Ellie Suriaty.

Masih keliru dengan apa yang berlaku, Azri bagaimanapun berkata dia tidak menolak andai mereka ditakdirkan rujuk semula.

BACA: Ellie Suriaty, Azri Iskandar Sah Bercerai Selepas 19 Tahun Berkahwin

“Saya reda dengan takdir yang sudah tertulis. Sekarang ini saya masih dalam keadaan keliru betul ke dah bercerai… nak menyesuaikan diri.

“Nak kena terima hakikat dah kembali single. Jadi, saya pun tak tahu perasaan sekarang macam mana. Harap peminat doakan kebahagian saya dan Ellie

“Kalau satu hari nanti kami berbaik dan nak rujuk semula, tak ada siapa akan halang kecuali kalau kami dah berkahwin lain,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Azri berkata hubungannya dengan bekas isteri masih baik serta berterima kasih kepada Ellie yang menjaganya ketika dia berdepan masalah kemurungan selepas dipecet dari filem Leftenan Adnan pada 2000.

“Hubungan kami masih baik… saya pun masih anggap Elly sebagai kawan baik dan ibu kepada anak-anak kami. Bagi saya, Ellie adalah individu yang banyak berjasa dalam hidup saya.

“Masa saya alami kemurungan teruk sampai macam nak gila disebabkan kena pecat dari filem Leftenan Adnan 22 tahun lalu, dia la yang menjaga saya,” katanya.

Terdahulu, Ellie telah menfailkan permohonan cerai ke atas suaminya sebelum Ramadan yang lalu. Ellie mendirikan rumah tangga dengan Azri pada tahun 2002. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Azrell dan Nur Azreen.

×