Semalam, status dimuat naik pelakon Mia Sara di laman Twitter mengundang kecaman apabila meluahkan rasa penat sering disamakan dengan individu lain.
Menerusi entri itu, Mia merasakan pelik apabila netizen sering meletakkan pautan akaunnya pada mana-mana individu yang memakai tudung hitam dan ‘eyeliner'(pembayang mata) sama sepertinya.
BACA: Mia Sara Dikritik Gara-Gara Berbahasa Inggeris Di YouTube
“Kenapa setiap wanita yang memakai tudung hitam dan eyeliner kelihatan seperti saya. Saya penat sering dipautkan (tagged) kepada random girls di Tiktok” tulisnya.
Susulan perkongsiannya itu, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan status tersebut dan menganggap pelakon tersebut tidak gemar gayanya ditiru orang lain.
Bagaimanapun, memetik BH Online, Mia menjelaskan mengenai kenyataannya itu yang disalah ertikan oleh segelintir pihak serta memohon maaf di atas salah faham yang timbul.
“Ciapan saya tidak jelas disebabkan dalam Bahasa Inggeris dan ramai keliru. Saya buat ciapan itu kerana di TikTok, ramai ‘tag’ saya pada foto gadis bertudung hitam dengan mata bercelak.
“Mereka kata gadis itu cantik seperti Mia Sara. Sesetengah gadis tak suka disamakan. Kenapa mereka tak boleh jadi cantik disebabkan diri sendiri? Saya sokong pendapat itu.
“Bagi saya, masing-masing ada kecantikan sendiri. Itu yang saya mahu sampaikan, bukan menyatakan mereka cantik macam saya. Tetapi orang salah faham ciapan saya,” katanya.
Menurut Mia lagi, niatnya baik hanya untuk menyampaikan perkara positif serta menyebarkan kesedaran namun tidak sangka ada yang salah faham mengenai statusnya itu.
“Ciapan saya tidak lain dan tidak bukan untuk menyebarkan kesedaran bahawa masing-masing cantik dengan cara tersendiri. Bukan sebab dia nampak seperti orang lain.
“Sejujurnya, saya tak sangka ciapan itu boleh tular. Saya berada di kawasan di mana jaringan internet kurang baik. Jadi, selepas kira-kira sembilan jam, baru saya perasan ramai yang membalas ciapan itu secara negatif. Niat saya positif, hendak cakap benda baik,” katanya.