fbpx

“Alif Menangis, Minta Maaf Berkali-Kali”

Terpaksa menangguhkan drama Penjara Janji berikutan watak utama, pelakon dan pengacara Alif Satar disahkan positif COVID-19, penerbit drama berkenaan, Sheila Rusly akur dengan keputusan tersebut.

Meskipun tindakan tersebut memberikan kesan dari segi kos pembikinan drama, namun dia tidak mahu menanggung risiko memperjudikan nyawa dan keselamatan artis serta kru produksi.

BACA: Alif Satar Tenteramkan Hati Dengan Baca Al-Quran

“Apabila perkara ini terjadi, artis dan kru produksi diarahkan pulang ke rumah untuk menjalani kuaratin. Walaupun sudah melakukan ujian saringan sebelum ke lokasi penggambaran di Melaka, tetapi mereka perlu membuat ujian saringan berkenaan sekali lagi.

“Ujian saringan perlu dilakukan kerana artis dan kru yang terbabit dalam drama ini adalah kontak rapat Alif,” katanya.

Tidak menyalahkan Alif di atas apa yang berlaku, ujarnya, Alif menghubunginya menerusi Facetime minta maaf berkali-kali, sambil menangis kerana menganggap apa yang berlaku menyusahkan banyak pihak.

“Saya faham dijangkiti COVID-19 bukanlah kehendak Alif, malah saya melihatnya sentiasa menjaga diri dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalani penggambaran.

“Perkara sudah jadi, nak buat macam mana? Jika saya marah atau mengamuk, ia tidak akan mengubah apa-apa. Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan Alif. Dia seorang yang sangat komited dengan kerja dan tidak pernah membawa masalah kepada produksi,” katanya.

Dalam pada itu, Sheila memaklumkan ketika sesi penggambaran pada 19 November lalu, Alif ada mengadu keadaan dirinya yang kurang sihat namun hanya menyangka mungkin kerana penat berulang alik.

“Alif ada mengadu pada kru yang dia mengalami sakit tekak dan sengal di bahagian tubuh. Waktu itu, kami tak syak apa-apa dan menyangkakan disebabkan penat kerana terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Melaka.

“Saya memintanya menjalani pemeriksaan di hospital apabila dihubungi oleh bapanya yang memaklumkan individu yang ditemui pada 17 November lalu positif COVID-19.

“Berdasarkan keputusan x-ray, memang tak nampak sebarang gejala pada bahagian paru-parunya. Namun, hasil ujian darah akhirnya mengesahkan yang Alif positif COVID-19. Insya-Allah, saya mendoakan semoga Alif segera sembuh,” katanya.