fbpx

“Tak Ada Masalah Kalau Abah Nak Jumpa, Tapi Harap Dia Dah Berubah”

Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila bekas suami usahawan kosmetik Datuk Seri Vida menfailkan tuntutan hadanah iaitu hak lawatan, bermesra dan bermalam terhadap dua anaknya, Cik B dan Kacak.

Tampil memberi kenyataan mengenai perkara itu, Cik B berkata dia tidak mempunyai masalah untuk bertemu dengan bapa kandungnya, Mohd Amin Yasin, namun dia berharap bapanya yang dipanggil ‘Abah’ itu sudah berubah dan tidak lagi seperti dahulu.

BACA: “Saya Tak Pernah Halang, Tapi Anak Tak Mahu Jumpa Sebab…”

“Saya tak ada masalah nak jumpa abah, tapi untuk bermalam macam yang dinyatakan dalam tuntutan Hadhanah tu, mungkin tidak kot. Sebab saya akan rasa awkward kalau bermalam dengan abah, sebab tak biasa kan…Insya-Allah, kalau abah nak berjumpa saya okay sahaja.

“”Cuma satu, saya harap sangat abah benar-benar sudah berubah dan kalau dia dah berubah, buktikanlah kepada saya dahulu. Tak mahulah macam dulu, jumpa saya tapi lepas tu suruh minta duit kat mama,” katanya.

Mengetahui mengenai tuntutan yang dibuat bapanya itu selepas diberitahu oleh salah seorang kakitangan DSV, Cik B berkata ibunya tetap tenang selepas mendengar tentang berita tersebut.

Berikutan bapanya dikecam teruk oleh netizen, Cik B berkata dia tidak marah kerana tidak membaca komen negatif. Namun baginya, segala apa yang dikatakan netizen mungkin kerana mereka mengambil berat akan dirinya.

“Saya tak marah sebab saya tak baca komen negatif, saya just let it be. Cuma mungkin saya rasa marah pada diri sendiri sebab pernah tulis dekat Twitter tentang masalah keluarga yang sepatutnya menjadi privasi.

“Disebabkan itu ramai yang mengungkit dan korek balik kisah lalu. Saya tak ada rasa apa-apa pun, tapi netizen yang tertekan.

“Mereka ambil berat tentang saya, tak apalah…Saya okay tak ada trauma, cuma mungkin kesan tersebut lebih kepada diri mama. Mama yang lalui kisah perit dalam hidupnya dulu,” katanya.