fbpx

Ajai Mohon Maaf Bagi Dr Hafiz Zainal 2 Markah

Minggu lalu hangat diperkatakan tindakan penyanyi dan komposer Ajai memberikan markah terendah dalam sejarah sebanyak 2/100 kepada Dr Hafiz Zainal ketika konsert pertama Big Stage 2020.

Lebih menimbulkan kontroversi, komen yang diberikan oleh Ajai disifatkan sangat melampau apabila Ajai turut mendakwa lebih baik Hafiz pengsan daripada meneruskan nyanyiannya.

BACA: “Saya Beri Ajai 2/100 Dari Sudut Kematangan, 60/100 Gila Viral”

Bagaimanapun, dalam konsert minggu kedua malam tadi Ajai membuat kejutan dengan memohon maaf kepada Hafiz pada permulaan konsert secara langsung sebelum semua peserta membuat persembahan.

https://www.instagram.com/p/CEO7YI6gmnV/?utm_source=ig_embed

“Saya akui saya salah perkataan, mungkin itu prinsip saya apabila menjadi seorang juri dalam sesebuah pertandingan.

“Saya begitu peka dengan nyanyian dan teliti setiap not tetapi bukan semestinya awak tidak bagus. Jadi di sini saya ingin memohon ampun dan maaf jikalau saya ada terkasar bahasa sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian di Instagram Ajai berkata niatnya ingin mendidik serta mencurahkan ilmu supaya selepas Big Stage mereka tahu cara menyanyi dengan betul.

“Biarlah saya dicaci, dihina dan dihentam. Tapi sebagai mana saya cakap, jauhari mengenal manikamnya dan saya kekal dengan prinsip saya.

“Tetapi apa yang saya mahu, selepas para peserta ini keluar, mereka tahu bagaimana cara menyanyi dengan betul dan anggap saya sebagai juri dan ‘bro’ (abang),” tulisnya.