Selepas beberapa bulan menjalin hubungan cinta, Ayda Jebat menerima lamaran kekasih hatinya, Nabil Mahir. Lebih istimewa, Nabil melamar penyanyi yang popular dengan lagu Pencuri Hati itu pada ulang tahun kelahiran Ayda yang ke-28 Selasa lalu.
Nabil memberitahu, dia mengambil masa sebulan untuk merancang kejutan lamaran itu. Meskipun sudah melamar kekasih hatinya, namun Nabil berkata dia dan Ayda tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan majlis merisik atau bertunang.
BACA: Tayang Cincin Di Hari Jadi, Ayda Jebat Terima Lamaran Nabil Mahir
“Semenjak kami mula rapat, kami sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing. Selepas saya melamar Ayda, kami memang tidak mempunyai perancangan untuk mengadakan majlis merisik atau bertunang,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Nabil berkata dia mahu terus melangsungkan pernikahan dan mahu diadakan tahun ini juga. Ujarnya lagi, dia dan Ayda akan berbincang mengenai perkara itu dengan keluarga terlebih dahulu.
“Kalau boleh, saya sendiri mahu terus bernikah dan mengadakan majlis berkahwin tetapi tarikhnya masih belum difikirkan lagi.
“Kalau boleh saya mahu langsungkannya tahun ini juga. Tetapi, semuanya masih belum pasti lagi dan kami akan berbincang dengan keluarga terlebih dahulu,” katanya.