fbpx

“Perkataan Taubat Tak Sesuai Untuk Saya, Bukannya Saya Merompak”

Dalam sidang media diadakan semalam, pelawak Ali Puteh memohon usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri untuk meminta maaf kepada ibunya yang terluka di atas tindakannya itu.

Malah, Ali turut meminta Aliff bertaubat kerana tindakannya itu secara tidak sengaja memecah belahkan ahli keluarga mereka. Namun, Aliff tetap dengan pendiriannya yang menganggap tindakannya itu bukanlah satu kesalahan dan perkataan taubat yang ditujukan kepadanya itu tidak sesuai.

BACA: “Kepada Aliff Syukri Yang Sangat Hebat, Bertaubatlah!”

“Perkataan taubat itu tak sesuai untuk saya. Saya bukannya merompak dan merogol orang. Saya tidak fikir pertemuan dengan Nurhidayah satu kesalahan besar. Malah, saya tidak menjangka perkara ini boleh mencetuskan kontroversi.

“Sebenarnya, antara mereka sudah wujud konflik. Cuma, kehadiran saya membuatkan Nurhidayah nak bercerita. Dia mengizinkan segala perbualan dirakam dan disiarkan. Jadi, adakah itu kesalahan saya?

“Tidak fasal-fasal saya pula yang menjadi mangsa dan dipersalahkan. Sedangkan niat saya nak ziarah dan berikan zakat dan sumbangan pada mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Aliff berkata dia juga akan mengadakan sidang media Isnin depan bagi menjelaskan dan menjawab segala persoalan timbul. Ujarnya lagi, video yang disiarkan itu hanya 10 peratus dan ada perkara yang masih disimpan kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa.

“Sekarang saya tersepit dan merana. Saya malas nak gaduh dengan pihak sana. Apa boleh dikatakan, saya juga ada cukup bukti bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Video yang disiarkan itu baru 10 peratus. Ada lagi perkara lain yang masih disimpan. Cuma, saya tidak mahu mengaibkan sesiapa. Jadi, tunggu penjelasan lanjut daripada saya pada sidang media,” katanya.