fbpx

“Kami Dah Putus Mac Lalu, Isteri Tahu Hubungan Kami”

Sejak semalam kecoh diperkatakan mengenai Amar Asyraf apabila seorang wanita mendedahkan sedang menjalin hubungan cinta dengan pelakon itu sejak September tahun lalu.

Wanita itu turut mengatakan mereka bakal berkahwin serta mendakwa Amar sebenarnya sudah beristeri dua. Tampil menjelaskan kontroversi tersebut, Amar mengakui menjalin hubungan cinta dengan gadis tersebut namun hubungan mereka sudah berakhir Mac lalu.

BACA: Ada Dua Isteri, Wanita Dedah Amar Asyraf Mahu Kahwin Lagi?

“Dalam hal ini, saya salahkan diri sendiri kerana membiarkan diri terjerat dengan cinta tiga segi. Saya tidak mahu membuka aib sesiapa, tambahan pula hubungan saya dengan gadis itu sudah berakhir pada Mac lalu. Biarlah apa yang berlaku menjadi rahsia kami.

“Saya juga berharap, penjelasan ini dapat menutup semua isu yang tercetus. Apa yang berlaku antara kami sudah menjadi sejarah dan tidak perlu dikenang lagi,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Amar berkata hubungannya dengan isteri, Arna Salleh baik-baik sahaja, malah isterinya tahu hubungannya dengan gadis tersebut. Namun, Amar memberitahu isterinya terkilan apabila cerita itu tersebar kepada umum.

“Isteri tahu hubungan saya dengan gadis itu. Dia tidak melatah, malah tenang apabila saya berterus terang perkara sebenar. Dia bagaimanapun, terkilan apabila cerita itu mula tersebar.

“Keluarga juga tahu mengenai perkara itu. Saya akui, saya yang patut dipersalahkan dalam hal ini dan tidak akan sekali-kali menuding jari menyalahkan orang lain,” katanya.

Sementara itu, Amar menegaskan dia tidak akan teragak-agak untuk membawa ke muka pengadilan jika ada pihak yang terus memperkatakan tentang perkara itu.

Terdahulu, seorang gadis yang dikenali sebagai Ellika Azman mendakwa Amar mempunyai seorang lagi isteri serta seorang anak dari perkahwinan kedua. Dakwanya lagi, Amar dikatakan mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa sejak bayi tersebut dilahirkan.