fbpx

“Sekarang Baru Proses Bercinta, Rasa Bahagia Sangat”

Nadzmi Adhwa mengakui tidak terucap dengan kata-kata dan tidak tergambar bagaimana bersyukurnya apabila Ardell Aryana datang meminangnya selepas beberapa hasrat untuk memperisterikan sahabat baiknya itu ditolak.

Dari sahabat bertukar menjadi suami isteri, Nadzmi berkata kehidupannya kini sangat berbeza. Nadzmi akui masih rasa kekok dan sukar untuk mengucapkan kata-kata romantis kerana perasaan malu.

BACA: Nadzmi, Ardell Bakal Berbulan Madu Di Mekah

“Tak tercapai akal bila dia meminang, malah selepas akad kami masih malu-malu. Yalah, dia kawan baik saya, dulu selalu bergurau kasar, panggil pun aku dan kau tiba-tiba dalam masa beberapa hari kena tukar panggilan yang manja, memang segan.

“Saya memang sudah lama sukakan dia, namun dia kerap menolak. Sekarang kami baru dalam proses bercinta, memang seronok dan rasa sangat bahagia,” katanya kepada Utusan Online.

Meskipun sudah bergelar pasangan suami isteri, Nadzmi berkata dia memahami tugas dan kerjaya isterinya, begitu juga Ardell. Malah, dia dan isteri tidak meletakkan sebarang syarat untuk mereka terus berlakon.

Nadzmi dan Ardell selamat diijabkabulkan pada 1 September dengan hanya sekali lafaz dalam satu majlis secara tertutup yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Seri Kembangan, Selangor.