fbpx

Che Ta Tuntut Bekas Pemandu Minta Maaf Sebelum 6 Petang

Berhubung isu pembayaran gaji minggu lalu, Rozita Che Wan memberi tempoh sehingga jam 6 petang ini untuk bekas pemandunya, Muhammad Riduan Mohamad Mizol membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

Enggan memanjangkan isu tersebut, Che Ta berkata, dia memberi peluang kepada bekas pemandunya untuk tampil membuat permohonan maaf sama ada datang bersemuka dengannya atau menerusi media sosial.

BACA: Che Ta Mahu Saman Malu Bekas Pemandu

“Pihak kami sebelum ini sudah menghantar notis tuntutan untuk dia membuat permohonan maaf namun tiada sebarang maklum balas sehingga sidang media ini diadakan.

“Pun begitu saya tetap memberinya peluang sehingga pukul 6 petang ini untuk dia tampil membuat permohonan maaf itu sama ada bertemu saya sendiri atau membuat kenyataan di laman sosial miliknya.

“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini dan sebolehnya ingin menyelesaikan cara baik tanpa perlu mengambil tindakan seterusnya,” katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, nama pelakon itu menjadi bualan hangat apabila bekas pemandunya mendakwa Che Ta tidak membayar gajinya berjumlah RM2,000.

Dalam pada itu, Che Ta sudah pun menjelaskan wang tersebut, namun akan mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki terbabit kerana telah menjatuhkan reputasinya dengan mengadakan cerita tidak benar sekaligus jatuh fitnah serta menuntut permohonan maaf secara terbuka.