Dalam ramai-ramai anak selebriti, anak kepada pelakon Zain Saidin dan Rozita Che Wan iaitu Aaisyah Dhia Rana antara yang menjadi perhatian ramai. Bagaimanapun, Che Ta memberitahu Zain tidak mahu Aaisyah mengikut jejak langkah mereka untuk bergelar artis.
Kata Che Ta lagi, suaminya itu juga tidak suka dia membuka akaun Instagram Aaisyah sama seperti selebriti lain. Tambah Che Ta, Zain juga tidak mahu anaknya itu didedahkan dengan dunia hiburan walaupun Aaisyah kini sudah mula menunjukkan minat dalam nyanyian dan lakonan.
BACA: Isu Foto Bogel Mirip Abang, Aaisyah Pula Jadi ‘Mangsa’
“Seboleh-bolehnya Zain tidak mahu Aaisyah menjadi artis dan didedahkan dengan dunia hiburan. Malah, Zain bising jika saya bawa Aisyah ke majlis hiburan hingga balik lewat malam. Ini kerana dia tidak mahu anak ponteng sekolah. Cuma, jika ada tawaran Aaisyah berlakon dengan saya, kami okay. Kalau hanya dia seorang kami tak akan ambil.
“Sejak usia tiga tahun lagi Aaisyah suka menyanyi dan berlakon. Kalau dia duduk saja, kita boleh dengar dia menyanyi seorang diri. Lagu yang dinyanyikan pula lagu orang dewasa. Lagu berkenaan dia dengar di radio. Malah, lagu Keke Challenge pun dia tahu.
“Kalau depan cermin pula dia suka berangan jadi pelakon. Pendek kata, dia berjiwa orang dewasa dan ikut seperti saya,” katanya kepada Harian Metro.
Tidak hairan jika Aaisyah meminati untuk menceburi dalam industri hiburan sama seperti ibu bapanya. Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Apa pun, mungkin Zain sudah mempunyai perancangan untuk masa depan anaknya itu.