fbpx

“Malu Dengan Perbuatan Sendiri, Janji Tak Buat Kerja Gila”

Tahun lalu, banyak kontroversi melanda pelakon Iqram Dinzly. Kelakuan Iqram menjadi perhatian dan bualan ramai netizen. Berikutan itu, ada yang menganggap pelakon ini tidak lagi siuman.

Namun Iqram akur bahawa tidak semua orang boleh menerima caranya dan memberitahu pada 10 malam terakhir Ramadan lalu, dia menemui dengan dirinya yang sebenar dan kembali hidup seperti manusia normal.

BACA: “Saya Temui Semula Diri Yang Dulu, Saya Tak Gila”

Iqram juga mengakui dia terlalu leka melayan perasaan sehingga ada yang beranggapan kehidupannya sudah menyimpang dari landasan Islam sebenar. Sedangkan tidak semua orang faham apa yang dilalui olehnya.

Kata Iqram lagi, lapan bulan lalu dia membiarkan dirinya terperangkap dalam dunianya sendiri, namun akhirnya dia sedar bahawa tindakannya itu beri kesan buruk pada diri, keluarga dan kejayanya, serta berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

“Saya tidak kisah apabila dianggap sudah tidak siuman kerana hanya saya tahu, apa yang saya rasa. Apabila tersedar, saya malu dengan perbuatan sendiri. Saya bukan lagi Iqram Dinzly yang dulu. Terdetik juga di hati, apa sebenarnya yang saya lakukan? Saya terperangkap dan terpinga-pinga kerana tidak percaya dengan apa yang saya buat.

“Cukuplah, saya tidak mahu buat kerja gila lagi. Dulu, saya fikir boleh berkongsi apa yang dilalui dengan khalayak, tetapi saya silap. Orang sekeliling tidak faham apa yang saya rasa,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Dunia Baru itu juga turut memohon maaf kepada semua pihak di atas perbuatannya dulu yang mungkin mengguris perasaan ramai.