fbpx

7 Tahun Kahwin, Nabila Huda Reda Belum Ada Rezeki Tambah Anak

Usia perkahwinan kedua sudah menginjak tujuh tahun, pelakon Nabila Huda reda belum lagi diberikan rezeki untuk menambah cahaya mata seperti yang diharapkan.

Memetik Kosmo, Nabila berkata dia sudah berusaha dan jika diberi rezeki dia ingin dikurniakan cahaya mata setiap tahun.

BACA: Nabila Huda Sedih Keguguran Buat Kali Kedua

“Saya sudah berkahwin (buat kali kedua) selama tujuh tahun. Siapa yang tidak mahukan anak? Anak sulung saya, Keisha Laila pun sudah besar. Kalau boleh setiap tahun saya mahu dapat zuriat sebab nak anak ramai,” katanya.

Menurut Nabila lagi, dia dan suami sudah pun melakukan pemeriksaan kesihatan dan tiada masalah untuk memiliki cahaya mata.

“Alhamdulillah masing-masing sihat. Doktor kata tiada masalah kesihatan. Cuma belum ada rezeki lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila berkata dia tidak mahu melakukan kaedah rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF) atas saranan suami yang tidak mahu melihat dirinya menanggung sakit.

“Saya tidak mahu buat IVF sebab saya pernah hamil sebelum ini. Maknanya saya tiada masalah. Lagipun suami kata tak payah sebab sakit.

“Dia tidak mahu lihat saya menanggung kesakitan. Lagipun saya sibuk bekerja. Lainlah kalau saya suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Sebelum ini, Nabila pernah disahkan hamil dua kali namun mengalami keguguran iaitu pada April 2019 dan Oktober 2020.