fbpx

7 Perceraian Selebriti Paling Kontroversi Tahun 2018

Setiap pasangan pasti impikan perkahwinan yang sentiasa bahagia dan kekal bersama hingga ke akhir hayat. Tiada siapa yang inginkan perceraian.

Namun, tidak semua ikatan perkahwinan mampu dipertahankan. Soal jodoh hanya Tuhan saja yang mengetahui. Tahun ini menyaksikan beberapa selebriti yang bercerai dan mengalami keretakan rumah tangga. Ada kisah perceraian mereka ini mendapat perhatian meluas orang ramai dan media.

1. Ziana Zain & Armin Zaharin

Kemelut rumahtangga penyanyi Ziana Zain akhirnya bertemu titik noktah apabila suaminya, Armin Zaharin Ahmad melafazkan cerai talak satu pada 12 Julai lalu. Pada April lalu, Ziana menfailkan tuntutan cerai selepas Armin enggan melafazkan cerai terhadap penyanyi tersebut.

Difahamkan fail tuntutan penceraian itu berkaitan penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera anak-anak mereka. Ziana dan Armin mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

2. Isma & Zul 2 By 2

Selepas hampir 20 tahun hidup sebagai suami isteri, akhirnya Isma mengesahkan perkahwinannya bersama komposer Zul 2 By 2 sudah terlerai pada awal tahun ini. Menurut Isma, tiada inisiatif di pihak Zul selain persefahaman semakin pudar menjadi antara punca pergolakan dalaman mereka. Mendirikan rumah tangga pada 16 April 1998, pasangan ini dikurniakan lima orang cahaya mata.

3. Deja Moss & Azfendy Azzuddin

Rumah tangga pasangan ini tidak dapat diselamatkan lagi apabila disahkan bercerai pada 24 Oktober. Pada Mac lalu, Azfendy memberi alasan untuk memfailkan perceraian disebabkan mereka tidak mempunyai cahaya mata walaupun sudah 10 tahun berkahwin. Deja dan Azfendy mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 2008.

4. Nazim Othman & Bella Dally

Hanya mampu bertahan selama hampir dua tahun, pasangan selebriti Nazim Othman dan Bella Dally yang berkahwin pada 10 September 2016 akhirnya memutuskan untuk bercerai pada 2 Mei lalu. Nazim mengakui bahawa mereka berbincang selama enam jam sebelum mengambil keputusan berpisah. Sehingga kini, punca perceraian mereka masih menjadi tanda tanya.

5. Noryn Aziz & Raja Kamarul Bahrin

Mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2010, juara Gegar Vaganza Musim ke-5 ini dikhabarkan dalam proses perceraian bersama Raja Kamarul Bahrin selepas 8 tahun bersama. Terdahulu, Noryn dan suami dikatakan telah hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada 1 April lalu untuk menghadiri sesi majlis sulh pertama.

Kes perceraian ini menjadi perhatian ramai kerana suaminya memfailkan tuntutan nusyuz terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu Julai lalu.

6. Ude Wahid & Intan Liana

Walaupun pasangan ini bukan dikalangan selebriti, namun kisah rumah tangga mereka menjadi perhatian apabila Ude Wahid berkahwin dengan pelakon Izreen Azminda. Intan Liana juga pernah memberitahu sanggup menerima pelakon Izreen Azmindar sebagai madunya selepas mengetahui mereka sudah berkahwin.

Bagaimanapun, pada 22 Mac 2018, Ude dan Intan sah bercerai talak satu. Difahamkan Ude kali pertama memfailkan permohonan cerai pada November tahun lalu, namun menarik balik permohonan itu sebelum memfailkan semula permohonan sama Januari lalu.

7. Natasha Hudson & Khalid Kamal

Bercerai kali ketiga, pelakon Natasha Hudson mengakui sudah berpisah dengan suaminya, Carleed Khaza atau Khalid Kamal secara baik sekitar September lalu. Namun, Natasha tidak mendedahkan punca perceraian mereka. Kemudian timbul cerita dimana pelakon Zarina Anjoulie mendakwa Natasha pernah curang dengan bekas suaminya sehingga pasangan itu memutuskan untuk bercerai.

Bagaimanapun, pada 8 Disember lalu, Natasha Hudson sah bergelar isteri kepada usahawan dari Kelantan, Noor Nashriq Sekarnor.