47 NGO Gesa Anwar Berunding Terus Dengan PN Demi Lapan Reformasi Utama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mengadakan rundingan terus dengan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) bagi mencapai persetujuan politik merentas parti untuk melaksanakan lapan reformasi utama negara.

Gesaan itu dibuat 47 organisasi masyarakat sivil (NGO) yang mahu Kerajaan Madani dan pembangkang memeterai perjanjian melibatkan kesemua 218 Ahli Parlimen dalam baki tempoh penggal Parlimen ke-15.

Menerusi kenyataan media bersama hari ini, kumpulan NGO berkenaan berpandangan perjanjian itu penting bagi memastikan reformasi utama negara tidak tergendala akibat ketidaktentuan politik, selain memperkukuh kestabilan dan keyakinan terhadap sistem demokrasi negara.

“Kami menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berhubung secara terus dengan kepimpinan tertinggi PN demi memperdalam demokrasi dan memperkukuh kestabilan negara.

“Melangkah ke tahun terakhir penggal pentadbirannya, ini merupakan saat berharga buat beliau sebagai seorang negarawan untuk menyatukan semua parti bagi membawa perubahan yang berimpak tinggi.

“Ini juga merupakan peluang keemasan buat PN untuk mengemukakan tawaran komprehensif kepada Kerajaan Madani, seterusnya membuktikan kepimpinan berwawasan dan komitmen demokratik mereka untuk Malaysia selepas PRU16,” menurut kenyataan itu.

Enam organisasi yang menerajui inisiatif berkenaan ialah Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), C4 Center, IDEAS, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Rasuah Busters.

Lapan reformasi dicadangkan itu merangkumi had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat serta Akta Ombudsman.

Turut dicadangkan ialah Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama, Akta Pendanaan Politik berserta dana awam kepada parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab terus kepada Parlimen, bukannya Perdana Menteri.

Reformasi terakhir pula membabitkan notis tiga bulan bagi pembubaran Parlimen sekiranya tiada persetujuan untuk Parlimen ke-15 berkhidmat sehingga 18 Disember 2027.

Dalam pada itu, kumpulan NGO terbabit menyambut baik pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan 13 Ahli Parlimen pada 29 Oktober lalu, namun menyifatkan skop perjanjian berkenaan terlalu sempit.

Mereka berpandangan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen tidak sepatutnya terus menjadi bahan rundingan politik, sebaliknya perlu dijamin melalui undang-undang.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan turut menyokong gesaan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya PN memeterai satu lagi CSA dengan Kerajaan Madani, namun mahu skopnya diperluaskan.

“Kami menyeru kepimpinan tertinggi PN untuk mempertimbangkan cadangan perjanjian merentas parti yang merangkumi lapan reformasi ini.

“Kami mengambil maklum pendirian PN bahawa Bersatu 7 tidak mewakili Pembangkang,” menurut kenyataan itu.

Kumpulan NGO berkenaan turut merujuk kejayaan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021 sebagai contoh kerjasama politik yang boleh dijadikan teladan.

KREDIT GAMBAR HIASAN: BERNAMA

×