Hangat diperkatakan mengenai kemelut antara penyanyi terkenal era 90-an, To’ki dan anak-anaknya, bagaimanapun hubungan keluarga ini kembali pulih apabila anak penyanyi itu iaitu Noor Hidayah terpanggil untuk bertemu bapanya.
Selepas empat tahun tidak bertemu, Hidayah memaklumkan dia sudah pun bertemu dengan bapanya pada Jumaat lalu. Menurut Hidayah, dia membuat keputusana untuk berjumpa bapanya selepas membaca nasihat daripada netizen.
BACA: Dituduh Tak Ingat Ayah, Anak To’ki Dedah Cerita Sebenar
“Awalnya, saya cukup terkesan dengan komen netizen, tetapi apabila direnung semula, teguran mereka memberi kesedaran. Walaupun macam mana pusingnya dunia, dia tetap ayah saya, tiada apa yang dapat mengubah hakikat itu.
“Alhamdulillah, berkat nasihat yang baik dan doa orang ramai, saya bertemu dengan ayah selepas empat tahun tidak berjumpa. Hubungan kami sekarang baik-baik sahaja, malah jujurnya, saya gembira hingga menitiskan air mata.
“Sememangnya setiap apa yang terjadi, ada hikmahnya. Disebabkan kisah tular, saya dapat berjumpa ayah,” katanya kepada BH Online.
Hidayah berkata dia bersama suami bertemu ayahnya pada Jumaat lalu, kemudiannya kembali membawa adik-adik yang lain pada hari berikutnya. Hidayah akui dia memang mahu bertemu bapa kandungnya itu selepas kisah bapanya itu tular, malah dapat lepaskan rindu melihat bapanya menyanyi.
“Selepas kisah ayah tular, hati saya memang mahu bertemu ayah. Sebelum berjumpa, kami ada berbual di telefon. Apabila saya dan suami mahu keluar makan, kami mengajak ayah sekali pada Jumaat lalu.
“Esoknya, saya datang berjumpa ayah bersama adik-adik pula. Saya juga berkesempatan melihat rumah ayah dan kemudiannya, kami keluar makan bersama.
“Di restoran, kami berpeluang lihat ayah menyanyi secara ‘live’. Jujurnya, saya gembira, terubat rindu nak tengok ayah menyanyi. Bukan kami sahaja, malah ayah juga kelihatan gembira dapat bersatu semula dengan anak, cucu dan menantu,” katanya.
Dalam pada itu, Hidayah turut meluahkan rasa syukur melihat ayahnya sudah mempunyai tempat tinggal selesa didiami bersama isteri baharu, Sharifah Fairuz Syed Yusof. Hidayah turut mengatakan ibu tirinya itu melayan mereka seperti keluarga sendiri.
“Doa kami sememangnya mahu lihat ayah hidup selesa. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu ayah.
“Melihat ayah bahagia bersama isterinya sekarang, kami juga gembira. Isterinya baik, melayan kami seperti keluarga sendiri ketika kami ke rumahnya,” katanya.