fbpx

3 Tahun Rahsia Identiti, Myra Natasya Akhirnya Dedah Anak Halim Othman

Sebut saja nama bekas penyampai radio dan pengacara Halim Othman, sememangnya ramai mengenalinya apatah lagi pernah mengendalikan program popular sebelum ini.

Rupanya, anak Halim juga turut mengikut jejak langkah bapanya iaitu Myra Natasya yang turut aktif mengecara dan berlakon.

BACA: Halim Othman & Linda Onn Bakal Bersatu Semula Di Suria FM?

Pernah menjadi pengacara Didik TV dan akan muncul dengan drama Republic Of Gombak di TV3, Myra berkata ini masa sesuai untuk mendedahkan identiti diri dan juga bapanya.

“Selama tiga tahun ini, saya ‘menutup kemas’ identiti ayah kerana menghormatinya yang selama membina nama sebagai penyampai radio dan pengacara, memang tidak pernah buka mulut bercerita mengenai kisah peribadi dan keluarga.

“Malah, pada awal pembabitan dalam karier seni ini pun, ayah kurang setuju kerana bimbangkan diri saya. Tapi, selepas dia menonton saya mengacarakan Didik TV, banyak ilmu dikongsikannya.

“Dia pun nampaknya bangga dengan saya kerana mampu berusaha untuk menapak dalam karier ini dengan bakat sendiri tanpa bergantung dengan namanya. Saya sayang dan menghormati ayah,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai bapanya dengan pendedahan tersebut, Myra berkata dia sudah memaklumkan kepada Halim akan memberitahu perkara sebenar apabila orang bertanya.

Melihat pada sikap ramah Myra, cara percakapan serta raut wajahnya, memang ada iras Halim. Katanya lagi, persamaan itu mungkin kebetulan kerana mereka anak beranak.

“Hubungan saya dengan ayah memang baik, walaupun saya tahu dia kurang selesa berkongsi kisah peribadinya dulu kepada media. Malah, dia kalau bercakap pun suka berkongsi kisah semasa atau politik.

“Tapi, saya dah cakap dengan dia akan beritahu siapa saja yang tanya. Dia faham dan harapan saya ingin berjaya dalam karier ini,” katanya.

Untuk rekod, Myra Natasha adalah anak Halim bersama bekas isterinya, Yusnita Omar.