fbpx

2 Individu Bakal Didakwa Sapu Duit Finas RM13.4 Juta

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan mengheret tujuh syarikat produksi ke mahkamah kerana gagal menyiapkan filem dalam masa tiga tahun selepas menerima dana dari agensi tersebut dengan jumlah keseluruhan hampir RM16 juta, lapor Harian Metro.

Memetik laporan The Malaysian Insight, bagaimanapun tujuh projek itu hanya melibatkan dua individu yang menggunakan tujuh syarikat berbeza untuk mendapatkan dana penerbitan Finas.

Ketua Pengarah Finas, Fauzi Ayob berkata kesemua projek tersebut sudah dibatalkan kontraknya dan kini sedang dalam proses tindakan perundangan.

“Dalam perjanjian, jika projek gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan, Finas boleh mengenakan tindakan untuk membatalkan perjanjian dan syarikat produksi perlu memulangkan dana yang sudah disalurkan,” kata Fauzi, seperti dipetik akhbar itu.

Kata Fauzi lagi, semua dana yang diluluskan antara 2015 dan 2016 itu, setiap satu berjumlah antara RM1.2 juta hingga RM5 juta.

Seorang individu berumur dalam lingkungan 30-an menggunakan tiga buah syarikat yang menerima dana berjumlah RM8 juta, manakala seorang lagi individu berumur 60-an menggunakan empat buah syarikat menerima dana RM5.4 juta.

Sebuah produksi lain, menerima dana penerbitan sebanyak RM2.5 juta, merayu tindakan yang diambil dan kini dalam proses menyiapkan sebuah filem animasi yang tertangguh.

Difahamkan lapan buah filem yang tidak dinamakan dalam laporan Harian Metro itu tidak sama dengan beberapa judul yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang dikeluarkan awal bulan lepas, yang menerima dana penerbitan Finas antara 2012 dan 2013.