fbpx

“10 Tahun Lalu Saya Tak Tahu Baca Alif Ba Ta”

Dikala ramai yang menyahut cabaran #10yearsChallenge yang kini menjadi trend di media sosial dengan berkongsikan foto 10 tahun yang lalu, berbeza dengan penyanyi Mizz Nina berkongsikan kisah hijrahnya yang menjadi inspirasi ramai.

Menerusi Instagram, Mizz Nina memberitahu 10 tahun lalu dia melalui perubahan besar dalam hidupnya dan pernah berputus asa untuk mencari teman hidup. Namun, dia tidak menyangka pada tahun itu juga dia dipertemukan dengan suaminya, Noh Hujan dan berkahwin.

BACA: “Kalau Takdir Kami Tiada Anak, Kami Tetap Syukur”

“Saya tiada gambar yang boleh dikongsikan 10 tahun lalu memandangkan saya tidak berhijab ketika itu. Pada tahun 2009, saya berusia 29 tahun, masih single dan fokus pada kerjaya solo. Saya pernah berputus asa untuk mencari pasangan.

“Pada penghujung tahun 2009, saya bertemu dengan suami. Alhamdulillah Allah menyatukan kami dan berkahwin. Doa saya jadi kenyataan,” tulisnya.

Kongsi Mizz Nina lagi, pemergian arwah abangnya dua tahun sebelum itu memberi kesan mendalam dan banyak mengubah dirinya. Mizz Nina juga mengakui ketika itu dia tidak mendirikan solat.

“Iman saya pada ketika itu perlahan-lahan berkembang, sejak abang saya meninggal, saya dapat merasakan ia memberi kesan besar pada hati saya. Walaupun saya tidak solat 5 kali sehari, saya tidak menutup pintu dan hubungan dengan Allah.”

Mizz Nina turut menceritakan 10 tahun lalu dia tidak tahu membaca Alif Ba Ta dan hanya menghafal surah Al Fatihah dan tiga Qul sahaja. Katanya lagi, dia mula belajar membaca Al-Quran di usia 33 tahun.

“SubanAllah! Tidak pernah saya bayangkan, saya akan berada di ruang yang sama sekali berbeza dalaman & luaran, Allah menuntun saya kembali untuk mengamalkan Islam & sekarang saya sedang belajar kursus diploma Ta’leem Al-Quran, melakukan da’wah & perbincangan.

Dalam pada itu, Mizz Nina turut berkata masih belum terlambat untuk belajar membaca Al-Quran. Katanya lagi, kita sendiri yang perlu tekad untuk membuat perubahan dan berusaha untuk kembali ke jalan Allah.