fbpx

‘The Fault in Our Stars’ Bukan Sekadar Filem Romantik Remaja

“It was unbearable. The whole thing. Every second worse than the last.” – Hazel Grace

The Fault in Our Stars (2014) ialah sebuah filem adaptasi yang sangat setia kepada cerita buku asalnya dengan judul yang sama, karya John Green. Buku tersebut juga sudah diterjemahkan dalam bahasa Melayu bertajuk ‘Tertulis di Bintang-Bintang’ terbitan FIXI.

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan sepasang kekasih remaja Hazel Grace Lancaster (Shailene Woodley) dan Augustus Waters (Ansel Elgort) yang sama-sama mengidap penyakit barah yang berlainan jenis, tetapi kedua-duanya berisiko tinggi untuk meninggal dunia pada bila-bila masa. Pertemuan klise berlanggar di pusat sokongan pesakit barah menemukan kedua-duanya, lantas mereka jatuh cinta. Filem ini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler.

TFIOS12

Filem ini menyorot dari sisi pandang watak Hazel yang menceritakan hubungannya dengan Augustus yang berkejaran dengan sisa-sisa waktu yang masih ada. Ia diceritakan melalui voice-over dan babak sebenar yang memaparkan kronologi susah-senang, tangis-tawa, suka-duka yang begitu menghambat perasaan untuk disaksikan dan dirasai bersama penonton.

Penceritaannya dikembangkan bersulam suara Hazel yang menceritakan satu-persatu susunan perihal yang berlaku dengan nada yang begitu mirip membacakan sebuah novel, sarat dengan emosi. Saya begitu terkesan bagaimana Hazel menceritakan kisahnya di bilik ER bila dia diminta memberi petunjuk dari bilangan jari betapa kesakitannya dari skala 1-10 dimana dia pernah paling sakit katanya pada skala 9, manakala kehilangan Augustus ialah pada skala 10. Sedih.

Saya tidak menafikan bahawa perasaan sebak menonton filem ini berhasil dari babak-babak tangisan oleh Hazel atau Augustus dalam situasi-situasi yang begitu pilu. Namun ada juga kesayuan timbul bila mendengar luahan kata-kata dari mereka sahaja misalnya dalam babak pembacaan ‘eulogy’ dari Hazel kepada Augustus. Mungkin kerana durasi filem ini yang lebih 2 jam terasa memerah air mata penonton sehabisnya kerana itulah elemen pemasaran filem ini yang hendak dijual. Ia sebuah melodrama remaja yang dibikin dengan baik.

TFIOS10

The Fault in Our Stars berjaya diceritakan dengan bagus kerana para pelakonnya yang begitu menjiwai setiap watak untuk difahami tanpa perlu memaksa untuk dikasihani kerana kesakitan mereka tetapi survival mereka untuk terus hidup. Ia dipaparkan dengan jujur pada momen-momen yang betul. Kalau sakit, sakitlah. Kalau lucu, luculah.

Dialog-dialognya yang diserap dari novelnya memberikan kelebihan untuk bercerita yang disusun menjadi pertuturan kedengaran seperti biasa, tetapi begitu teliti untuk meluahkan maknanya. Diucapkan dan diberi jiwa serta rasa oleh para pelakon yang handal iaitu Shailene Woodley dan Ansel Elgort yang wajar dipuji dari barisan pelapis aktor Hollywood yang muda.

Pengembangan kisah cinta Hazel-Augustus diampu oleh subplot-subplot konflik dalaman keluarga Hazel tentang betapa kuat sokongan dan kasih-sayang ibu bapanya, Michael Lancaster (Sam Trammell) dan Frannie Lancaster (Laura Dern). Setiap kali Hazel bersuara memanggil, segeralah Farnnie datang ke bilik tidur menjenguk Hazel walaupun ada ketika ibunya sedang berkemban hendak mandi. Begitu juga watak Issac (Nat Wolff) yang kadangkala menjadi orang tengah dan sahabat senasib Hazel-Augustus yang mengisi adegan humor yang mencuit hati.

TFIOS7

Babak-babak berlatar muzik dan lagu yang beralun mengiringi penceritaan yang sesuai diadunkan bersama. Ada juga sekuen situasi aman tanpa muzik sekadar mimik dan bahasa tubuh Shailene dan Ansel yang sudah mampu mendedahkan apa yang tersirat dan tersurat. Ahhh! Filem ini kelihatan dan kedengaran sangat hampir sempurna untuk sebuah melodrama yang disulami komedi santai yang bersahaja.

Ia seakan tidak mahu merengek betapa siksa dan sakitnya penyakit barah yang Hazel dan Augustus hidapi, tetapi menyatakan bahawa inilah kisah mereka semasa sementara masih kelihatan sihat. Maksud saya, pasangan sejoli itu seolah memberi refleksi betapa pentingnya kehidupan hari demi hari walaupun mereka tahu entah esok, entah lusa semuanya akan berakhir.

Sebuah buku berjudul ‘An Imperial Affliction’ yang tergantung di bab terakhirnya, menjadi penyambung erat hubungan cinta Hazel-Augustus sekaligus mendesak misi mereka bersama sehingga ke Armsterdam untuk bertanya sendiri penulisnya, Peter van Houten (Willem Dafoe). Meskipun pertemuan mereka dengan Peter ialah sesuatu yang mengejutkan, namun ia merebak ke situasi yang lain melalui bantuan Lidewij Vliegenthart (Lotte Verbeek).

TFIOS3

Di samping itu, The Fault in Our Stars mahu menjadi filem yang diingati kerana lokasi-lokasi sebenar yang wujud misalnya ‘Anne Frank House’ dan taman ‘Funky Bones’. Sudah tentu mercu tanda itu menjadi singgahan fanatik buku dan filem ini.

Filem ini juga tidak mahu asing dari teknologi komunikasi moden masa kini. Telefon pintar yang menjadi alat penting melalui panggilan telefon dan sms/whatsapp dipaparkan berselang-seli perjumpaan bersemuka yang memanjangkan penceritaan. Cuma medium media sosial sahaja yang tidak mahu dibikin sebagai sebahagian babak, mungkin tidak mahu menjadi terlalu terikat dengan status tanpa jiwa via facebook, twitter atau instagram dan lain-lain.

Di babak-babak awal tontonan, saya agak skeptikal adakah filem ini akan berkembang sebagai salah satu lagi produk Hollywood yang mengumpan penonton remaja yang gilakan bukunya tetapi diadaptasi ke filem yang terlalu manis bergula-gula seperti siri Twilight? Sangkaan saya begitu meleset kerana setelah habis menonton, saya akui ia merupakan sebuah filem kisah remaja yang matang isi dan penceritaannya.

TFIOS1

KESIMPULAN

THE FAULT IN OUR STARS (2014) umpama mengiyakan kehendak pasangan kekasih yang mahu ‘sehidup semati’. Namun giliran untuk menemui ajal itu sudah tersurat yang mana pergi dahulu dan kemudian. Siapa yang tinggal mesti kuat semangat dan tahan menangis!

OKAY. OKAY. Filem ini selayaknya saya berikan 5 BIJI ROTIKAYA.