fbpx

The Equalizer: Janganlah Cari Pasal Dengan Denzel Washington!

“Odds against you? Need help? Call The Equalizer 212 555 4200”

Itulah iklan di akhbar yang begitu sinonim dengan babak dalam sebuah siri TV berjudul The Equalizer lakonan aktor veteran Edward Woodward di penghujung tahun 1980-an. Ia begitu popular melalui penampilan watak seorang bekas ejen perisikan rahsia yang sudah bersara dan lewat usia tetapi masih handal membantu orang awam yang kesusahan.

The Equalizer (2014) ialah filem drama aksi yang mengadaptasi siri TV itu dimana watak utama Robert McCall digalas oleh Denzel Washington yang bergabung sekali lagi dengan pengarah Antoine Fuqua. Pembikinan filem ini beruntung kerana mempunyai asas perwatakan dari siri tv yang terkenal bagi memudahkan pemasarannya untuk lebih menonjol dari lambakan filem-filem aksi ejen perisikan yang lain.

The Equalizer dibuka dalam suasana tenang, aman dan tenteram. Kehidupan watak Robert McCall begitu tersusun rapi, jelas dipaparkan setiap aktivitinya yang sangat berperaturan sejak dia bangun pagi. McCall bekerja di Home Mart iaitu sebuah kedai menjual perkakas dan bahan binaan rumah harian. Namun begitu, paparan dalaman pangsapuri dan rutin hariannya yang digambarkan tinggal keseorangan seolah-olah ada sesuatu yang pahit pernah berlaku dahulu.

TE7

Setiap malam pula, McCall akan berkunjung ke sebuah kedai kopi dengan membawa sebuah buku dan seuncang teh dari rumah. Di situ, McCall berkenalan dengan seorang gadis pelacur, Teri (Chloë Grace Moretz) yang selalu berehat sementara menunggu ‘bapa ayam’ bernama Slavi (David Meunier) menelefon untuk memaklumkan ketibaan pelanggannya.

Penceritaan filem ini mula meledak apabila McCall menyaksikan suatu insiden yang melibatkan Teri dan Slavi serta konco-konconya. Maka bermulalah rentetan aksi dan reaksi oleh McCall menggunakan semula kepakarannya sebagai seorang bekas ejen perisikan rahsia yang begitu hebat untuk membantu orang awam. Lawannya juga ialah seorang gengster yang hebat berbangsa Rusia bernama Teddy (Marton Csokas).

Saya suka filem ini dan anda digalakkan menontonnya di pawagam sekarang untuk mengetahui kesudahan filem hebat ini jangan sampai terlepas.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

TE9

Sekali imbas, The Equalizer mengikuti formula kisah seorang lelaki yang nampak naif di kalangan orang awam kebanyakan yang awalnya kelihatan normal tetapi sebenarnya mempunyai sejarah hidup lampau yang gelap dan berahsia, mungkin seperti filem A History of Violence (2005). Bagaimanapun, filem ini berjaya mengangkat watak seorang hero yang berjenama sendiri melalui penampilannya yang nampak biasa tetapi luar biasa.

The Equalizer yang ini dipaparkan kadangkala seperti adiwira tanpa topeng yang begitu teliti mengira setiap langkahnya sebelum bertindak, lengkap dengan jangkaan kiraan berapa saat McCall akan melunaskan aksinya. Misalnya, babak-babak perincian kronologi kepakaran McCall ditunjukkan melalui paparan dekat kamera betapa cermat matanya menjeling ke kiri, kanan, atas dan bawah.

Ditambah pula seteru kepada McCall iaitu watak Teddy lakonan bagus oleh Marton Csokas benar-benar kelihatan digeruni yang setanding ‘buku bertemu dengan ruas’. Pemaparan susuk tubuh badan Teddy yang bertatu dan tekniknya menyoal siasat secara ganas dan kejam kepada orang-orang yang diugutnya semasa pencarian McCall dan Teri, menyediakan watak antagonis yang setaraf dengan McCall.

The Equalizer - 2014

Memandangkan filem ini gandingan semula pengarah Antoine Fuqua dan Denzel Washington selepas filem Training Day (2001) maka hasil produksi The Equalizer nampak lebih baik kerana keserasian mereka. Walaupun watak McCall tidaklah se-emosi watak Alonzo Harris kerana keperluan pengembangan watak The Equalizer memang sebegitu, lebih tenang tetapi pantas bertindak. Mungkin juga kerana Denzel semakin tua. Adakah watak Robert McCall akan menjadi taruhannya sekali lagi untuk ke pencalonan The Oscars? Kita tunggu dan lihat.

Sebenarnya selepas habis tontonan, saya akui bahawa The Equalizer cukup rempah-ratusnya sebagai sebuah filem aksi yang berdikari sendiri untuk bertindak ala ‘Rambo’. Tetapi persoalan sama ada filem ini mengangkat dan mengolah semula watak Robert McCall dari siri tv ke tahap yang lebih baik atau sekadar hanya tinggal nama watak sahaja?

Maksud saya, filem ini umpama ‘rebranding’ yang banyak membuang ciri-ciri unik perwatakan The Equalizer versi tv. Dari watak seorang berkulit putih ke bangsa kulit hitam. McCall kali ini tidak memiliki kereta berjenama Jaguar atau senjata pisau ketenteraan kegemarannya. Malahan yang paling ketara ialah Robert McCall versi filem ini tidak menggunakan pengiklanan di akhbar untuk menawarkan khidmatnya. Tak apa, kita tunggu sekuelnya nanti kerana mungkin filem ini ialah versi ‘reboot’ permulaan francais watak McCall untuk kali pertama di layar lebar.

Denzel Washington, Nash Edgerton

Sungguh pun filem ini agak lari dari tekapan asal perwatakan siri tv, tetapi ia mempunyai penceritaan yang kemas. Filem ini tidak perlu menyumbatkan babak-babak ‘flashback’ untuk menampal asal-usul latar siapakah Robert McCall, tetapi memberikan sedikit demi sedikit kisah perwatakannya yang mudah difahami bahawa dia bukan calang-calang bekas seorang ejen perisikan yang berani dan ganas. Suntingan juga baik misalnya ada satu babak yang hanya bermain dengan bayangan di minda penonton tanpa paparan sebenar apa yang sudah dilakukan oleh McCall, cukup sekadar babak mengelap tukul yang berdarah.

Begitu juga dengan latar lokasi McCall bekerja iaitu gudang Home Mart yang dipenuhi dengan segala kelengkapan peralatan bahan binaan seperti penebuk dan penembak paku elektrik dan lain-lain. Semuanya menyediakan pentas dan berbagai senjata untuk McCall di babak-babak pergaduhan finale filem ini. Ringkasnya, The Equalizer ialah contoh lakonlayar yang direalisasikan ke filem dengan baik.

KESIMPULAN

Denzel Washington

The Equalizer (2014) berjaya memberikan kepuasan tontonan sebuah filem aksi yang diceritakan perlahan-lahan tetapi meletup tanpa henti sehingga penghujungnya. Robert McCall ialah watak hero filem yang sejenis jangan gatal mahu dijentik-jentik. Dia akan cuba sedaya-upaya untuk berdiplomasi cara baik-baik dahulu dengan musuh-musuhnya, walaupun ternyata degil hendak insaf. Maka selepas itu dia akan cari dan belasah semuanya termasuk ketua penjahat sampai ke akar-umbi, sampai ke lubang cacing, sampai ke Rusia ya! Awas!

Saya berikan 4 BIJI ROTIKAYA.