fbpx

Review: Terbaik Dari Langit

TERBAIK DARI LANGIT (2014) ialah filem kedua arahan Nik Amir Mustapha selepas filem KIL (2013) yang diiktiraf sebagai filem terbaik dalam beberapa buah majlis anugerah tempatan. Kali ini, Nik bergabung dengan penulis skrip Redza Minhat yang juga seorang penulis skrip teater dan telefilem yang berpengalaman, terbukti berhasil menggarap dan mempersembahkan sebuah karya yang baik. Ia ada kisah persahabatan, kehidupan, cinta dan fiksyen sains dalam garapan drama dan komedi.

Filem ini mengisahkan sekumpulan sahabat yang berjumpa semula selepas 15 tahun mereka berpisah membawa haluan masing-masing semenjak meninggalkan bangku sekolah. Ibaratnya, seperti school reunion atau alumni rakan se-asrama yang dipertemukan kembali diterajui oleh Berg (Bront Palarae). Misi utama Berg dengan bantuan rakan-rakannya, Ijam (Iedil Putra), Toyu (Amerul Affendi) dan Ali (Megat Sharizal) ialah untuk membikin sebuah filem eksperimen atau filem bajet murah di sepanjang perjalanan menjejaki 3 tapak kawasan yang pernah kononnya dilawati oleh makhluk asing, UFO.

“Drama, drama, drama, ending dia ada UFO!” kata Berg kepada Ijam dalam satu babak. Sebegitulah secara ringkasnya kisah Terbaik Dari Langit. Adakah mereka benar-benar akan menjumpai makhluk asing atau sebenarnya mereka akan menemui benda yang lain? Silakan ke panggung wayang sekarang kalau nak tahu apa yang best sangat tentang filem ini?

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

TDL2

Terbaik Dari Langit asalnya berjudul Bikin Filem kerana ia sememangnya mengisahkan susah-payah di belakang tabir untuk membikin sebuah filem pendek bersama kawan-kawan. Namun begitu, usaha ‘pembikinan filem’ yang diarahkan oleh Berg itu menjadi asas penyebab untuk mereka bersatu semula. Filem ini seronok untuk ditonton kerana akan mengingatkan kita kepada sahabat karib atau BFF semasa di sekolah dahulu.

Ia sebuah filem yang mudah dihadam kerana konflik yang terpendam dalam hati masing-masing di asrama dulu-dulu, mungkin boleh dikatakan semua orang pernah melalui dan merasainya. Terbaik Dari Langit memberikan ruang dan waktu kepada Berg, Ijam, Ali dan Toyu untuk bersemuka semula bagi meluahkan dan menyelesaikan apa yang terbuku selama ini.

Kisahnya bergerak dalam kronologi babak-babak flashback semasa di sekolah asrama lakonan baik oleh Berg (Zack Zharif), Ijam (Rahman Rahim), Toyu (Aliff Azeman) dan Ali (Hanif Latip) diselang-seli dengan penceritaan ala road movie Berg versi Bront Palarae dan rakan-rakannya yang sudah dewasa sekarang. Filem ini juga mengadun pengembangan kematangan watak-wataknya sebagai sebuah filem coming-of-age menjadikan ia begitu sesuai ditonton untuk semua peringkat umur, remaja mahu pun yang sudah besar panjang.

TDL5

Pemecahan dua kisahnya yang silih-berganti, di belakang iaitu zaman sekolah dan di depan iaitu sepanjang perjalanan yang berhenti-henti, menceritakan punca sebenar keretakan hubungan persahabatan Ijam dan Ali. Watak Toyu juga ada suatu rahsia yang disimpan selama ini. Manakala watak Berg yang masih taksub dengan hobi membikin filem dan minatnya memburu UFO seolah-olah menjadi pengikat semua orang. Namun begitu, Berg juga ada konflik dalaman dirinya sendiri.

Pengembaraan yang nampak tak serasi di awalnya lagi apabila mereka memulakan perjalanan bersama-sama dalam sebuah van buruk sempit seperti perangkap kecil yang tidak dirancang betul-betul. Tetapi perjalanan itulah juga ialah kebebasan atau eskapisme yang sangat diperlukan oleh semua orang dan momen bernafas melihat sisi pandang orang lain terhadap diri mereka.

Ijam mahukan ruang berfikir sebelum benar-benar berkahwin dengan Zelda (Siti Saleha). Toyu yang selalu rendah diri perlukan pendesak untuk percaya pada kelebihannya sebelum yakin menjadi seorang guru. Ali kelihatan seperti seorang yang sentiasa go with the flow tidak kisah apa-apa, diuji setinggi mana takat didih barannya. Berg pula ialah seorang seniman yang mesti disedarkan dari fantasi karut-marut UFO dia, iaitu realiti sebenar dunia perfileman tempatan? Pendek kata, filem ini ialah kisah tampar-menampar dan menempelak secara jujur dan telus sesama sendiri demi untuk kebaikan masa depan mereka bersama. Ia seumpama gunung berapi hidup yang akhirnya boom! Meletup!

TDL1

Di samping itu, watak lain yang berada di tengah-tengah kemelut yang melarat dan melalut sejak zaman sekolah di antara empat sekawan itu ialah Sofia Jane (Nadiya Nisaa) serta Sara (Sharifah Amani) sebagai orang tengah di antara Ijam dan Zelda. Sofia dan Sara ialah penyambung hubungan yang berpecah-belah juga menjadi pelontar kata putus muktamad apa yang mesti dilakukan seterusnya. Kenapa nama watak Sofia Jane, kita kena tonton dan selepas itu tanya Redza Minhat di media sosial ya!

Sebagai sebuah filem yang menggabungkan ramai pelakon atau ensemble cast kebarangkalian satu-satu watak melebihi keperluan penampilan watak yang lain tidak berlaku. Dalam erti kata lain, setiap watak mempunyai latar cerita tersendiri yang akan ke depan silih-berganti untuk bercerita dalam setiap konflik yang berlaku. Filem ini beruntung kerana dibarisi para pelakon yang diasah dari berbagai latar, pentas teater atau bakat yang berkembang dek pengalaman setelah berlakon di televisyen dan beraneka filem komersial atau drama berat.

TDL14

Dari sudut pembikinan, filem ini jelas dibentuk dengan teliti dari serba-serbi nilai produksi bermula penulisan skrip, perwatakan, lakonan, lokasi, suntingan, skor muzik dan pengarahan. Mungkin tidak seratus-peratus sempurna, namun secara peribadi saya merasakan bahawa filem ini di antara yang bagus dalam tahun 2014 dari usaha gigih kerja keras para karyawan yang terlibat.

KESIMPULAN

Terbaik Dari Langit (2014) ialah sejenis filem yang mengimbas kenangan pahit-manis penonton di zaman sekolah dahulu malahan mampu mencetus kita untuk mencari nombor telefon, alamat e-mail atau carian rakan-rakan di facebook selepas habis menontonnya. Juga kalau anda mahu menyelami sedikit ke dasarnya, ia juga bercerita tentang gambaran dunia perfileman tempatan dari kaca mata pembikin dan produksi filem ini. Mungkin? Saya berikan 4 BIJI ROTIKAYA.