fbpx

Review: Seventh Son

Mahukah anda menonton sebuah filem epik fantasi yang ada babak manusia menentang raksasa-raksasa yang diadaptasi dari novel? Mungkin inilah filem itu. Seventh Son (2015) ialah sebuah filem epik fantasi yang berasal dari salah satu novel bersiri The Wardstone Chronicles tulisan Joseph Delaney. Filem arahan Sergei Bodrov ini mengkecamukkan cerita dari novel yang pertama berjudul The Spook’s Apprentice.

Ringkasnya, ia mengisahkan seorang spook bernama John Gregory (Jeff Bridges) yang melatih seorang pembantunya yang terkini atau ‘apprentice’. Fungsi ‘spook’ itu umpamanya bertugas sebagai seorang bomoh atau pawang pemulih, penentang dan pemusnah kuasa mistik jahat syaitan iblis dari buatan ahli sihir ilmu hitam. Dalam filem ini ketua penjahatnya ialah Mother Malkin (Julianne Moore) yang dibantu oleh adiknya, Bony Lizzie (Antje Traune). Malkin juga disertai pengikut ajaran taksub mendewakannya yang berbagai bentuk manusia boleh berubah menjadi makhluk-makhluk ganas yang merayap atau terbang.

Filem ini dimulakan dengan babak watak John Gregory semasa muda sedang mengurung ‘seseorang’ ke dalam lubang di atas sebuah gunung terpencil. Ceritanya melompat ke 10 tahun kemudian dimana John kini yang sudah tua versi lakonan Jeff Bridges yang diperkenalkan sebagai seorang ‘spook’ yang sedang mabuk. Tiba-tiba loceng gereja di perkampungan itu berbunyi menandakan panggilan amaran kepada John untuk segera bertindak memulihkan orang yang kerasukan syaitan. Apakah yang merasuk? Siapakah yang dikurung oleh John dahulu? Siapakah pembantu John yang terbaru? Anda kena tengoklah di pawagam sekarang ya!

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

SS-4

Filem ini dikembangkan menyorot bagaimana usaha John mencari seorang pembantunya yang terbaru akan dilatih untuk menentang kuasa jahat Mother Malkin dan sekutunya. Pembantu itu mestilah anak kelahiran yang ketujuh dimana bapanya juga mestilah anak yang ketujuh atau seventh son of a seventh son. Kononnya sesiapa yang berstatus seperti itu ialah seseorang yang mempunyai kuasa ajaib untuk setanding melawan kuasa jahat apa-apa pun. Remaja lelaki itu ialah Tom Ward (Ben Barnes).

Di samping itu seperti formula cerita yang sudah basi dari siri filem Twilight, plot percintaan remaja disumbatkan di tengah-tengah kemelut John melawan Malkin iaitu hubungan cinta di antara Tom Ward dan Alice Deane (Alicia Vikander) yang juga kebetulan ialah anak saudara Malkin. Ok, habis apa lagi yang perlu disumbat? Sudah tentulah penampilan askar-askar Malkin yang berbagai rupa dan kuasa tetapi tanpa asal-usul yang sahih.

Seventh Son ada asas cerita yang ok dari novelnya tetapi menjadi filem yang agak huru-hara penceritaannya kerana garapan dan penambahan plot untuk versi filem yang terlalu melompat ke sana-sini. Ia cuba sedaya-upaya menjadi filem kisah pengembaraan John dan Tom menuju ke lokasi Malkon beroperasi dengan terpaksa berdepan berbagai serangan musuh dan rintangan alam bukit-bukau dan hutan-rimba. Namun begitu, filem ini seolah-olah terperangkap dengan penceritaannya sendiri kerana jalur cerita yang berlapis di antara konflik John terhadap Malkin yang dikedepankan dalam versi filem berbanding kisah Tom sebagai pelatih baru spook yang sepatutnya menjadi watak utama dalam versi novel.

SS-2

Dari sudut lain, kadangkala penonton akan terfikir betapa kekalutan pengiraan jarak dari satu lolaki ke lokasi yang berikutnya. Bermula dari rumah John untuk latihan Tom, kemudian singgah ke sebuah perkampungan untuk membeli barang. Sambung semula ke dalam hutan, sekejap berhenti di perkampungan lain untuk melawan raksasa. Lalu kembali semula ke hutan dan lantas berhenti pula ke persinggahan seterusnya untuk melawat kubur.

Jauh bebenar tempat Mother Malkin, sedangkan Alice boleh muncul bila-bila masa bertemu dan berasmara dengan Tom di sepanjang perjalanan dimana Alice akan berulang-alik dengan cepat ke istana Malkin? Filem ini ada masalah logistik ya!

Namun begitu, filem ini boleh dikatakan menghiburkan melalui paparan imej janaan komputer (CGI) pertarungan John dan Tom menentang Malkin dan konco-konconya serta babak serangan raksasa menggerunkan di dalam hutan. Khabarnya sekuen aksi-aksi ber-CGI itu dihasilkan oleh anak tempatan Malaysia melalui syarikat Rhythm & Hues Malaysia dimana ia dibikin dan disunting di Cyberjaya. Jelas dari trailer Seventh Son, ia menumpukan tarikan minat pasaran melalui penampilan babak pendek berbagai makhluk ganas yang akan berlawan dengan John dan Tom.

SS-3

Dialog-dialognya sekadar membantu untuk momen-momen rehat sebentar tanpa pertarungan dan untuk memanjangkan cerita serta meluahkan perasaan. Menampilkan dua orang pelakon veteran yang profesional hebat nampaknya tidak berapa menjadi dan seakan terlibat dalam pembikinan sebuah filem yang kelihatan amatur. Jeff Bridges mahu seperti watak Gandalf, The Lord of the Rings, manakala Julianne Moore mahu semirip watak Maleficent (2014) atau Queen Ravenna dalam Snow White and the Huntsman (2014), tetapi hampa. Manakala pasangan kekasih Ben Barnes dan Alicia Vikander yang berharap untuk menarik penonton remaja ke panggung terasa terlalu mencuba untuk kelihatan sejoli.

KESIMPULAN

SS-9

Seventh Son (2015) yang sudah berkali-kali ditangguhkan penayangan di mana-mana pawagam kerana faktor kekurangan kewangan produksi untuk menyiapkannya, seakan memberi petanda bahawa ia bermasalah. Sejujurnya, filem Seventh Son ini tidak se-seronok kisah asal novelnya malah penceritaan versi filemnya yang cuba dikreatifkan dan dimampatkan terasa seperti kurang upaya dan agak membosankan.

Ia juga agak berkecamuk kerana kisahnya diputar-belit menjadi sebuah filem yang ‘wannabe’ mahu setaraf siri filem The Lord of the Rings tetapi berkesudahan menjadi selemah filem 47 Ronin (2014). Filem ini saya berikan hanya 2 BIJI ROTIKAYA.