fbpx

Pengalaman Cinta Hafiz Suip Lahirkan Album Luahan Hati Anak Seni

Melihat pencapaian anak muda ini sepanjang 4 tahun bergelar penyanyi membuatkan nama Hafiz Suip mekar di persada dunia seni tanah air.

Dengan penghasilan album di negara seberang Indonesia boleh dibanggakan ditambah pula dengan 14 anugerah yang dirangkul bermula selepas menjadi juara Akademi Fantasia musim ke 7.

Anak muda yang berasal dari Kuching, Sarawak ini baru sahaja lancarkan album penuh yang mengandungi 9 lagu kesemuanya yang berjudul Luahan Hati Anak Seni bertempat di Wisma Bentley, Damansara.

Menghadapi cabaran ketika menjalani rakaman di Indonesia bukan batu penghalang bagi Hafiz, 23 untuk memastikan buah tangan ketiganya di Malaysia mendapat sambutan.

Hafiz yang ditemui siang tadi memberitahu mengalami masalah suara hilang ketika berada di sana, nasib baik ada petua yang seringkali dilakukan artis Indonesia apabila menyuruh Hafiz menggunakan kicap pekat yang atau dipanggil kicap bangau dicampur dengan limau.

“Di sana cuaca sangat panas, tidak sama seperti di Malaysia. Alhamdullilah selepas dinasihati agar mengambil campuran kicap bangau dan juga limau suara saya semakin pulih dan mampu menyanyi.”

Lebih dekat dengan lagu berentak balada dan berunsurkan cinta, Hafiz masih tidak mampu lari dari menghasilkan lagu yang terbit dari dalam dirinya termasuk pengalaman pahit di dalam percintaan.

“Saya ada dua lagu yang terhasil dari kisah sebenar kehidupan saya. Saya ingin berterima kasih kepada Kunci Demak kerana dia banyak mengajar saya bagaimana cara untuk mencantikkan lagi lagu. Antara lagu yang saya cipta adalah Mungkinkah dan Deklamasiku.

Punyai cita-cita yang besar suatu hari nanti untuk melakukan konsert jelajah, Hafiz memberitahu perjalananannya masih jauh di dalam bergelar anak seni setanding Allahyarham Sudirman dan juga Anuar Zain.

Album yang mengandungi 9 lagu terdiri daripada Matahari, Bahagiamu Deritaku, Hanya Ingin Kau Cinta yang mana ada di antaran lagunya telah dirakamkan di Indonesia.