fbpx

Konsert Destini Berjaya Kutip Dana RM 2 Juta

Bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam telah berlangsung Konsert Destini yang menampilkan artis-artis popular tanah air seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Adira, Hafiz, Awie, dan Amy Search.

Manakala penampilan khas artis yang diterbangkan dari Indonesia iaitu Datuk Rossa, Pasha (Ungu), dan Cakra Khan. Konsert tersebut telah berlangsung selama 2 hari berturut-turut bermula pada 20 sehinggalah berakhirnya pada 21 Disember malam kelmarin.

Persembahan pembukaan tirai oleh Dayang Nurfaizah yang mendendangkan dua buah lagu iaitu Dayang Sayang Kamu dan Selagi Masih Ada Cinta.

Penampilan artis seberang, Datuk Rossa paling ditunggu-tunggu oleh peminat- peminatnya di Malaysia dan beliau artis memilih untuk meyampaikan lebih daripada enam lagu popular seperti Ku Menunggu, Hey Ladies!, Terlanjur Cinta, dan Aku Bukan Untukmu.

Tidak ketinggalan Rossa juga berduet dengan Cakra Khan pada malam pertama konsert dan pada malam kedua kemunculan Pasha Ungu menerusi lagu Terlanjur Cinta.

Tidak sah sekiranya pemilik bersuara emas ini tidak mendapat jeritan dari peminat-peminatnya yang hadir iaitu beliau Datuk Siti Nurhaliza yang menyampaikan tiga buah lagu iaitu Destinasi Cinta, Lebih Indah dan Cindai, penyanyi ini mengundang tepukan gemuruh setiap kali dia memulakan nyanyian. Tak usah bercakap tentang keupayaan vokalnya kerana Siti tidak pernah menghampakan peminat.

Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah bahawa Konsert Destini 2013 berjaya dengan objektifnya untuk mempersembahkan sebuah konsert menghiburkan bagi mengumpul dana untuk Tabung Pendidikan Anak Bangsa yang membantu pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Destini Anak Bangsa, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, pihaknya telah berjaya mencapai sasaran kutipan RM2 juta memandangkan semua tiket sudah habis terjual untuk konsert ini.

“Saya gembira kerana impian menjadi kenyataan. Malah, kami juga mencapai sasaran RM2 juta untuk Tabung Pendidikan Anak Bangsa. Saya berterima kasih kepada semua artis yang terlibat kerana bayaran yang mereka kenakan bukan mengikut nilai komersial tetapi berpatutan untuk tujuan kebajikan, “ ujarnya yang mengakui konsert itu menelan belanja RM700,000.

Konsert Destini dihoskan oleh Neelofa dan AG Hot FM. (rtky/hfz)