fbpx

Insurgent: Sekuel Yang Menghiburkan, Penuh Aksi & Emosi Remaja

Divergent (2014) ialah filem adaptasi yang pertama dari novel yang pertama dengan judul yang sama karya tulisan Veronica Roth. Filem yang saya ulas ini pula ialah filem adaptasi sambungannya dari novel yang ke-2. Kalau anda belum menonton filem yang pertama tahun lalu, mungkin akan sedikit lost untuk mengikuti penceritaan dalam filem kali ini.

INSURGENT (2015) menyambung kisah Beatrice ‘Tris’ Prior (Shailene Woodley) dan adiknya Caleb Prior (Ansel Elgort), Tobias ‘Four’ Eaton (Theo James) dan ayahnya Marcus Eaton (Ray Stevenson) serta Peter Hayes (Miles Teller) yang melarikan diri daripada buruan askar-askar Dauntless yang dikerahkan oleh Jeanine Matthews (Kate Winslet). Kenapa?

Sila rujuk dari filem yang pertama. Ya! Ini filem sekuel bersiri yang memerlukan anda membeli tiket dan menonton filem yang terdahulu, menonton filem yang terkini dan mulakan menabung untuk menonton filem berikutnya kerana ada 2 lagi sekuel.

34128.cr2

Ringkasnya begini, filem Insurgent mengenai sebuah ‘kotak’ yang kononnya dipercayai mempunyai mesej yang mampu membongkar rahsia untuk menakluk dan memusnahkan golongan Divergent. Masalahnya ialah hanya seseorang Divergent sahaja yang mampu membuka kotak itu. Susah bukan?

Filem ini juga menceritakan tentang perang dan politik di antara puak-puak atau factions yang terpecah kepada beberapa golongan iaitu Dauntless (puak berani mati), Amity (puak sayangkan keamanan), Erudite (puak bijak pandai), Abnegation (puak pembantu orang lain), Candor (puak jujur) dan Factionless (tidak tergolong dari mana-mana puak). Sementara itu, individu yang mempunyai kemampuan gabungan ciri-ciri fizikal dan mental beberapa puak dipanggil Divergent. Tris ialah salah seorang Divergent yang menjadi tunjang watak protagonis di sepanjang penceritaan dalam siri novel dan sekuel filem ini.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

56529.cr2

Ini filem adaptasi longgar dari sebuah novel yang diarahkan oleh Robert Schwentke yang begitu terkenal dengan arahan filem-filem pecah panggung Flightplan (2005), The Time Traveler’s Wife (2009) dan Red (2010). Dalam erti kata lain, para penulis skripnya iaitu Brian Duffield, Akiva Goldsman dan Mark Bomback seolah-olah sekadar membaca sekali lalu kisah asal dari novel lantas mencampaknya ke bawah meja. Mereka menulis semula jalan ceritanya yang bersesuaian untuk penceritaan sebuah filem dengan mengekalkan beberapa watak yang penting sahaja. Jadi kepada pembaca tegar novel asalnya, sila redha dan enjoy sahaja menonton plot baru yang dikreatifkan dalam Insurgent.

Misalnya kewujudan ‘kotak’ yang menjadi punca utama filem ini bergerak, sebenarnya tiada langsung sama sekali di dalam novel. Malahan pemburuan manusia Divergent yang menjadi misi terpenting oleh tentera-tentera Dauntless arahan dari Jeanine diketengahkan sebagai pelonjak cerita di peringkat awal. Mirip seperti pencarian ‘the one’ Neo dalam filem The Matrix (1999). Walaupun sudah beberapa orang berciri Divergent dicuba untuk membuka kotak itu, namun masih gagal. Sudah tentu satu-satunya manusia Divergent yang akan berjaya membukanya ialah Tris!

Kronologi paparan babak tentang simulasi dalam dunia palsu khayalan virtual reality semasa Tris melalui semua ujian mengikut satu-persatu sekuen ciri-ciri setiap kaum, itulah sebahagian besar tarikan filem ini di pertengahan. Insurgent boleh dikatakan berjaya memaparkan dunia yang dilalui oleh Tris rekaan dari visual-visual ber-CGI yang mendebarkan, lebih baik dari babak-babak simulasi dari filem Divergent terdahulu.

67540.cr2

Namun begitu, dek kerana melebihkan babak-babak simulasi oleh Tris (walaupun memang sangat menarik) yang tercetus dari ‘kotak’ yang tiada di dalam novel, maka filem ini seakan bercelaru dengan penyumbatan plot-plot dan watak-watak lain dari cerapan novel asal yang berselirat tanpa disulam dan dicantum dengan kemas. Mungkin filem ini memang sebegitu sebagai filem pertengahan yang bakal dikembangkan dari novel seterusnya berjudul Allegiant ke adaptasi 2 lagi sekuel filem.

Filem Insurgent bermain dengan konflik perebutan kuasa feminisme di antara Jeanine berseteru dengan Tris, sekali lagi seperti dalam filem terdahulu. Begitu juga dengan penampilan watak baru iaitu ibu kandung Four bernama Evelyn Johnson-Eaton lakonan baik oleh Naomi Watts yang mengetuai golongan Factionless yang beriya-iya mahu bergabung dengan Four yang mempunyai pengikut setia dari golongan Dauntless. Pertembungan kuasa anak-beranak nepotisme yang mempunyai tujuan sama untuk memulakan perang saudara dengan puak Erudite sekaligus merampas takhta pemerintahan dari kaum Abnegation.

40947.cr2

Dari sudut lakonan, terbukti bahawa Shailene Woodley sebagai Tris benar-benar menggerakkan penceritaan filem Insurgent sebagai teraju utama, setanding dengan Jennifer Lawrence sebagai Katniss Everdeen dalam filem The Hunger Games (2012). Nampaknya Hollywood sedang berlumba-lumba membikin filem adaptasi dari novel berkonsepkan dunia fiksyen sains yang menampilkan gadis cantik agresif kental berjiwa besi sebegini. Theo James pula sudah tentu menjadikan siri filem ini sebagai batu loncatan untuk meraih populariti kerana digandingkan sebagai pasangan kekasih dengan Shailene Woodley dalam kesemua sekuel.

Kali ini Kate Winslet sebagai Jeanine Matthews kelihatan lebih banyak bermain dengan mimik muka dan berdiri melenggang-kangkung sahaja berbanding dalam filem Divergent dahulu. Naomi Watts pula sebagai Evelyn diberikan peluang membuka langkah pertama sebelum terus beraksi dalam filem sekuel-sekuel yang seterusnya. Penampilan Ansel Elgort yang semakin popular selepas filem The Fault in Our Stars (2014) meletup di pasaran dan Miles Teller yang menjadi pelakon utama dalam filem calon anugerah Oscars iaitu Whiplash (2014) memudahkan lagi pemasaran filem Insurgent.

KESIMPULAN

INSURGENT3

Insurgent (2015) bolehlah tahan best juga kalau anda peminat tegar filem-filem adaptasi novel dunia aksi fantasi fiksyen sains yang mengetengahkan watak utama gadis yang pintar dan kuat, bukan kerana memiliki kuasa ajaib. Ia ada aksi dan visual yang hebat kerana bantuan teknologi imej janaan komputer. Mungkin remaja lelaki akan menyukainya dan mungkin juga remaja perempuan akan mengidolakan keberanian Tris. Siapa tahu? Saya berikan 4 BIJI ROTIKAYA.