fbpx

Filem Minggu Ini: Sejoli

Sejoli: Misi Cantas Cinta (2014) ialah sebuah filem arahan Osman Ali yang sangat popular dengan arahan filem adaptasi novel melodrama Ombak Rindu (2011), filem seram Puaka Tebing Biru (2007) serta filem-filem drama berat; Bukak Api (2000), Anak Halal (2007) dan Jiwa Taiko (2012). Sejoli ialah filem ke-2 bergenre komedi romantik arahan Osman selepas filem Cun (2011).

Filem ini dibuka dengan sebuah babak ‘thriller’ yang gelap apabila watak Joe (Bront Palarae) hendak menembak kekasihnya, Nita (Izara Aishah) yang sedang bercumbuan dengan Hardy (Remy Ishak) dalam sebuah kereta. Walaupun ia hanya sekuen mimpi, permulaan itu jelas membayangkan bahawa Joe sedang berang kepada Nita kerana curang.

Seterusnya filem ini mengikuti Joe ke Phuket, Thailand untuk menenangkan fikiran yang kusut. Joe dipertembungkan dengan Gina (Maya Karin) yang ‘kebetulan’ juga rupa-rupanya ialah bekas tunang Hardy. Ok, ini ialah filem ringan komedi romantik. Saya tidak wajar mempertikaikan ‘kebetulan’ itu. Babak pertemuan havoc di antara Joe dan Gina di stesyen bas menbuakkan ledakan plot mula yang menjolok perhatian saya untuk mengetahui ke mana hala tuju penceritaan Sejoli yang agak boleh dijangka itu, tetapi pasti membuahkan babak-babak ‘pasangan janggal yang sebenarnya serasi’.

maxresdefault

Joe menggelar Gina sebagai ‘katak rempit’ manakala Gina menggelar Joe sebagai ‘mamat kura-kura’. Benar, sekuen demi sekuen balas-membalas menyakat di antara Joe dan Gina di latar Phuket yang indah itu, akhirnya menemui ruang neutral berdamai apabila kedua-duanya menyedari bahawa mereka menjadi ‘mangsa’ bekas kekasih dan tunang.

Lantas, Joe dan Gina bersetuju pulang ke Kuala Lumpur untuk bersatu dalam satu plan untuk meretakkan cinta Hardy dan Nita supaya pasangan mereka kembali ke pangkuan masing-masing. Misinya ialah cuba sedaya-upaya untuk menggagalkan majlis perkahwinan Hardy dan Nita yang bakal berlangsung lagi 39 hari.

Untuk sesebuah filem komedi romantik sebegini, watak utama perlukan watak ‘sidekick’. Di Kuala Lumpur, Joe mempunyai bengkel pembetulan dan basuh kereta yang dibantu oleh kawannya, Tompi (Azad Jasmin). Manakala Gina bekerja sebagai jurufoto majlis perkahwinan yang dibantu oleh Lola (Dira Abu Zahar) seorang perancang majlis perkahwinan.

SEJOLI11

Setelah semuanya bergabung, Joe, Gina, Tompi dan Lola lantas bermulalah ‘misi cantas cinta’ atau plan mensabotaj yang berasaskan 3 kategori iaitu self confident, understanding dan trust. Penceritaan besar filem ini memaparkan kronologi usaha mereka dan konflik sama ada ketiga-tiga plan dan aksinya berjaya atau tidak untuk menggagalkan perkahwinan Hardy dan Nita? Ini yang anda perlu saksikan di pawagam sekarang!

Secara peribadi, setelah habis penontonan filem Sejoli: Misi Cantas Cinta saya berasa bercampur-baur penerimaannya. Filem ini elok dari segi asas cerita, lakonan dan kerja produksi. Dari sudut komersial, filem ini ada semua rencah hiburan kisah cinta ringan dan santai yang sesuai untuk dihidangkan kepada penonton. Faktor utama yang menarik penontonan ialah lakonan Bront, Maya, Remy, Izara, Azad dan Dira yang berbakat besar sudah tentu mudah untuk menjiwai watak-watak ringan komedi romantik sebegini. Ini ialah filem bertih jagung yang rangup sedap untuk pasangan yang sedang bercinta dan tontonan untuk seisi keluarga yang mahukan gelak-ketawa dari sebuah filem tempatan.

Pasangan utama kisah cinta Sejoli iaitu Bront dan Maya seolah magnet yang menolak dan menarik di sepanjang penceritaan. Misi mereka tidak ‘se-ekstrem’ seperti filem Addicted to Love (1997) tetapi permulaan seperti French Kiss (1997) dan keterdesakan untuk menggagalkan majlis perkahwinan seperti My Best Friend’s Wedding (1997). Ada beberapa momen yang mencuri perhatian saya iaitu babak Joe dan Gina ‘membuang’ tanda kenangan bekas kekasih masing-masing di pantai Phuket, sewaktu Gina menemui Joe di bengkel untuk memberitahu bahawa dia dan Hardy akan berkahwin dan babak Joe dengan Gina bergurau atas kereta bergelar ‘Baby Misha’ sehingga tergolek atas rumput. So sweet!

SEJOLI3

Beberapa plot filem ini mungkin agak mengejutkan kerana misi utama Joe dan Gina yang hendak ‘meruntuhkan masjid’ iaitu majlis pernikahan Hardy dan Nita dimana sesebuah perkahwinan ialah sesuatu yang suci. Bukan sekali ia berlaku, tetapi 2 kali majlis pernikahan yang digagalkan menjadi babak-babak taruhan utama pembikinannya. Namun begitu, saya cuba memahami dan menerima momen sebegitu kerana ia terpaksa dilakukan oleh Joe dan Gina sebagai langkah drastik terakhir untuk merebut semula milik masing-masing.

Beberapa babak yang janggal iaitu penyamaran Gina dan Joe yang tidak begitu meyakinkan jika difikirkan semula. Kalau saya ialah Hardy atau Nita sudah tentu ‘mengenali’ siapakah Joe dan Gina? Latar sebab-musabab kenapa Hardy dan Nita boleh jatuh cinta lantas mahu berkahwin dan sanggup meninggalkan kekasih masing-masing cuma disumbat untuk menjadi ‘punca’ konflik dan sekaligus mencetuskan pertemuan Joe dan Gina tanpa penjelasan yang memuaskan.

Filem ini sebahagian besarnya hanya mengetengahkan kisah ketidakserasian Joe dan Gina di awal cerita yang sebenarnya ialah proses perkenalan yang merapatkan lagi hubungan lalu menyedari bahawa mereka adalah ‘sejoli’ di akhir cerita. Memang itu fokus utama sebagai plot tunjang yang menggerakkan cerita. Penceritaannya kadangkala terasa terlalu pantas melompat-lompat sedangkan misi itu ialah 39 hari?

SEJOLI5

Filem Sejoli ini menggandingkan semula barisan pelakon yang membesar namanya di bawah arahan Osman Ali sewaktu dalam filem Anak Halal iaitu Maya, Bront dan Remy. Ketiga-tiga pelakon sudah masak dan tahu apa kehendak Osman sebagai pengarah di lokasi. Keserasian itu membolehkan filem Sejoli dibikin dengan hampir sempurna.

Sungguh pun Izara, Dira dan Azad kali pertama ditangani oleh Osman namun tidak menjadi masalah untuk digabungkan bersama. Pesona Izara jelas menyerlah bahawa dia antara pelakon wanita terkini yang mampu diperah bakat dan emosinya untuk filem yang lebih mencabar. Dira membuktikan dia mampu berkomedi manakala Azad menyambung perwatakan mulut celupar yang lucu seperti filem-filem komedinya sebelum ini.

SEJOLI7

Osman Ali mengadun rupa dan set Sejoli seperti filem-filem arahannya terdahulu dengan membina ruang yang khusus untuk perwatakan Joe. Bengkel kereta itu ialah lokasi selesa diri Joe yang dihias khas seperti juga atas bumbung flat watak Putera dalam Anak Halal dan rumah kumpulan Firman dalam Jiwa Taiko. Sekali lagi dalam Sejoli, Osman mengangkat kisah watak-watak yang dilihat sebagai ‘biasa’ tetapi lebih bahagia iaitu perwatakan pengendali bengkel kereta dan jurufoto berbanding golongan korporat dan model. Sejujurnya, filem Sejoli ini ialah yang paling ringan dari buah tangan Osman Ali berbanding filem-filem arahannya yang lain.

KESIMPULAN

Sejoli Misi Cantas Cinta sesuai dengan judulnya memang kisah cinta. Tontonlah ia untuk hiburan. Tontonlah ia untuk sedikit rujukan bahawa cinta yang dikejar mungkin tak dapat, cinta yang dikendong jangan berciciran. Kadangkala cinta ada di depan mata!

Saya tidak kisah untuk berikan 3 BIJI ROTIKAYA.