fbpx

Filem Minggu Ini — Paranormal Activity: The Marked Ones

Paranormal Activity: The Marked Ones (2014) ialah filem seram yang terkini dari siri filem yang sedia ada popular sejak 2007. Sekuel dan prekuel filem ini telah menjadi ikutan pembikinan filem cara murah dan mudah dari Hollywood selepasnya.

Walaupun sebenarnya, Cannibal Holocaust (1980) dan The Blair Witch Project (1999) ialah filem alumni terawal seangkatannya yang menjadi tontonan wajib peminat filem seram, namun siri Paranormal Activity yang berjaya beranak-pinak dibikin lagi dan lagi.

Kali ini, ia berkongsi mata dan telinga dengan penonton melalui lensa kamera Go-Pro menyorot dari jarak dekat kehidupan watak utamanya, Jesse (Andrew Jacobs) dimana sebahagian besar durasi dirakam oleh rakannya, Hector (Jorge Diaz). Nampaknya filem berstail ‘found footage’ sudah menjadi ‘product placement’ juga untuk jenama kamera peribadi?

Filem ini bermula dengan kisah santai kenakalan hidup seharian Jesse dan Hector di kawasan perumahannya. Jesse tinggal bersama neneknya (Renee Victor) dan kakaknya, Marisol (Gabrielle Walsh). Tiada apa-apa yang seram atau misteri pun berlaku. Anda layankan sahaja pengenalan ala diari yang tipikal itu kerana sememangnya sebegitulah teknik siri Paranormal Activity.

Kisahnya mula semakin menarik apabila Jesse dan Hector mula merakam secara curi-curi mengenai misteri jirannya, Anna (Gloria Sandoval) yang tinggal di pangsapuri bawah rumah Jesse. Anna dikhabarkan mengamalkan ritual ilmu hitam. Lalu rentetan kisah seram pun bermula tanpa henti apabila Jesse dan Hector memecah masuk rumah Anna selepas dia dibunuh.

Semenjak Jesse pulang dari rumah Anna, dia mendapati lengannya ada kesan gigitan ‘hantu’ yang menjadi titik mula penceritaan yang lebih seram sehingga tamat. Filem ini seterusnya bercerita mirip kisah remaja hebat dalam filem Chronicle (2012) yang digarap dengan huru-hara seperti filem REC (2007). Ok faham, filem-filem menggunakan teknik kamera ‘hand-held’ sememangnya adik-beradik dan rujuk-merujuk di antara pembikinan filem mereka. Itu tidak dinafikan. Filem yang mana lebih seram akan ditentukan oleh penonton.

Kepada pengikut setia siri filem Paranormal Activity akan memahami beberapa subplot yang diceritakan. Misalnya, siapakah cameo watak Ali Rey (Molly Ephraim) dan apakah kaitan Jesse sebagai anak tunggal lelaki dalam keluarganya. Begitu juga kesan gigitan di lengan Jesse dan tulisan ‘meus’ di dinding biliknya berkait rapat dengan kisah dari filem sebelum ini. Babak-babak finale genting di sebuah banglo di penghujung juga memberi petanda bahawa francais Paranormal Activity tidak akan berhenti untuk beberapa sekuel atau prekuel akan datang.

Adakah filem ini rakaman kisah benar? Tidak. Filem ini hanya menggunakan teknik penceritaan kononnya ia rentetan kejadian misteri dan seram yang benar-benar berlaku kepada Jesse dan orang sekelilingnya. Filem ini memaparkan kronologi tangkapan kamera setelah disambungkan melalui suntingan yang kelihatan seperti rawak tetapi sebenarnya telah disusun dengan rapi oleh pihak produksi.

Untuk sebuah filem seram, ia berjaya merencahkan elemen-elemen yang wajib diberikan kepada penonton. Sebahagian besar penceritaan bergantung sepenuhnya kepada persepsi yang sangat terhad melalui tangkapan kamera mengenai apa yang ada di sebalik ruang-ruang gelap dan menyeramkan. Detik-detik menunggu dan memerhatikan setiap apa yang akan tiba-tiba muncul di lensa kamera dibauri jeritan atau dentuman kuat ialah momen-momen seram yang menjadi permainan utama filem ini.

Christopher Beau Landon sebagai penulis skrip dan pengarah filem ini tahu bagaimana hendak menangani filem seram sebegini kerana dia jugalah penulis skrip untuk francais filem Paranormal Activity 2, 3 dan 4 sebelumnya. Kali ini walaupun ia berdikari mengenai kisah Jesse sahaja sebagai spin-off tetapi berjaya mengembangkan dan menambah plot kepada kisah Katie dari filem pertama siri Paranormal Activity. Filem kali ini juga lebih padat aksi lengkap dengan adegan perlanggaran kereta dan tembak-menembak.

Suntingannya lebih cepat dan lebih padat isinya serta mudah diikuti oleh penonton tanpa membiarkan babak-babak bosan panjang tanpa apa-apa berlaku seperti 4 filem terdahulu. Pembikinannya murah tanpa memerlukan muzik latar tetapi masih menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) untuk beberapa babak mistik.

Bila difikirkan semula, Landon sebagai pengarah masih berusaha keras untuk memastikan setiap tangkapan kamera mesti mengikut ‘timing’ atau titik waktu yang tepat bagi mendapatkan paparan babak yang sesuai disumbatkan CGI.

Paranormal Activity: The Marked Ones hanya mengasaskan cara filem realisme amatur pemaparan visualnya yang murah, tetapi mempunyai jalan cerita yang dikembangkan seperti filem komersial mahal yang lain. Maksud saya, ia ada permulaan watak Jesse yang biasa kepada luarbiasa serta menakutkan di akhir cerita. Sebagai sebuah filem seram, ia menghidangkan menu utama tanpa perlu disajikan appetizer dan dessert. Jika anda peminat tegar siri filem Paranormal Activity, filem ini ialah wajib tonton!

Saya okay untuk berikan 4 BIJI ROTIKAYA.