fbpx

Filem Minggu Ini: Endless Love

Endless Love (2014) ialah sebuah filem drama yang ditulis dan diarahkan oleh seorang pengarah wanita iaitu Shana Feste yang terkenal dengan arahan The Greatest (2009) dan Country Strong (2010). Kisah cinta antara 2 darjat yang sangat melodrama ini ‘kononnya’ diadaptasi dari sebuah novel dengan judul yang sama Endless Love (1979) karya Scott Spencer. Filem kali ini sebenarnya lebih kepada bikinan semula atau ‘remake’ filem adaptasi novel itu yang diarahkan oleh Franco Zeffirelli pada tahun 1981 yang melonjakkan nama Brooke Shields dan laku di pasaran tetapi dikritik teruk.

Ini kisah cinta monyet remaja di antara David Elliot (Alex Pettyfer) dan Jade Butterfield (Gabriella Wilde) yang terhalang oleh bapa Jade, Hugh Butterfield (Bruce Greenwood) yang lebih mementingkan masa depan anaknya supaya menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Konflik utamanya mengenai perebutan perhatian seorang bapa dan seorang kekasih kepada seorang gadis yang baru mengenal erti cinta.

Endless Love

Kisah bermula apabila Jade anak orang kaya yang berkenalan dengan rakan sekolahnya, David anak kepada seorang bapa tunggal, Harry Elliot (Robert Patrick) yang menjalankan perniagaan bengkel kereta. Konflik demi konflik berlaku bertimpa-timpa kerana bapa Jade seorang yang seperti bipolar kerana masih trauma dengan kematian anak sulungnya sehingga terlalu bersikap ‘overprotective’ kepada Jade. Namun begitu ibu Jade, Anne Butterfield (Joely Richardson) dan adiknya Keith Butterfield (Rhys Wakefield) lebih bersikap terbuka mengenai pilihan kekasih Jade iaitu David.

Di samping itu, filem ini juga menyuntik beberapa plot konflik lain sekadar untuk memanjangkan cerita. Adik Jade, Keith yang sedang bercinta dengan Sabine (Anna Enger) sudah tidak peduli kepada kehendak ayahnya yang sering membandingkan dengan mendiang abangnya. Ibu Jade, pula semakin hari semakin jelak dengan perangai suaminya lantas mahu menyambung minat menulis buku. Sementara itu bapa Jade, Hugh tanpa diduga mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Keluarga David juga ada konflik dalaman tersendiri sebagai plot tambahan. Ibunya dikatakan curang kepada ayahnya, Harry kerana ekonomi keluarga yang sederhana. Namun Harry tidak pula memberi amaran apa-apa kepada David bila mengetahui dia bercinta dengan anak orang kaya seperti Jade. Penampilan bekas kekasih David iaitu Jenny (Emma Rigby) cuma sekadar cameo sahaja tanpa diberi sebarang latar cerita yang penting. Memang banyak sub-plot, namun semua cabang itu tidak ke mana-mana dan tidak didalami dengan konklusi yang selesai.

EL1

Beberapa babak adegan seksual dan pengunaan dadah rasanya telah dipotong untuk kesesuaian klasifikasi P13 untuk tayangan di pawagam tempatan. Namun begitu, anda masih boleh bersuka-suka menyaksikan kisah ala Romeo dan Juliet versi moden ini yang dibikin dengan ala kadar sahaja. Filem ini ada semua formula yang nyata untuk sebuah kisah cinta remaja yang santai. Ada majlis graduasi sekolah di awalnya, ada adegan ‘terjatuh buku dan pertembungan mata kali pertama’, ada majlis keraian dan ‘party’ mandi-manda di kolam renang, ada adegan naik kereta tanpa bumbung serta ada aksi pertengkaran manja nangis-nangis di khalayak ramai. Anda minta sahaja plot cinta klise, filem ini ada menghidangkannya.

Sejujurnya selepas menonton versi terbaru 2014, saya berpendapat bahawa filem kali ini hanya mengambil judulnya sahaja tanpa mengambil pusing isi sebenar novel atau filem 1981 yang asal. Ternyata ia hanya memanipulasikan populariti karya Endless Love terdahulu sebagai senjata pemasaran sahaja. Filem ini cuma mengambil rangka kisah cinta yang terhalang di antara David dan Jade serta beberapa plot asas menjadi sebuah filem terbaru yang terlalu klise.

EL7

Penceritaan filem ini begitu seiras drama kekeluargaan dari siri-siri drama televisyen seperti Dawson Creek (1998-2003) dan Gilmore Girls (2000-2007). Mungkin kalau ia dijadikan siri di awal-awal tahun 2000-an pasti akan meletup, tetapi mempersembahkannya di tahun 2014 agak ketinggalan kot? Kisahnya tidaklah membosankan sekiranya dilihat dari penceritaan filem jiwang sebegini yang ternyata sangat santai. Ia memang 100% filem bertih jagung yang lemak berkrim untuk tontonan pasangan yang sedang bercinta dan bermesra dalam panggung tanpa perlu memeningkan kepala.

Penonton hanya layankan sahaja kronologi babak-babak percintaan ala main tarik-tali David dan Jade yang hanya dihalang oleh pemisahnya iaitu bapa Jade, Hugh Butterfield yang bertalu-talu seperti dendam dan dengki yang tak berkesudahan kepada David. Paparan visualnya memang membuai-buai seperti menonton video muzik karaoke yang cantik disulami lagu-lagu sedap dengan lirik kisah romantik.

EL5

Dari sudut lakonan, semuanya biasa dan sederhana. Dari sudut pengarahan, Shana Feste ok-ok sahaja. Sebenarnya kalaulah ia dibikin semula sebagai adaptasi asli dari novelnya, kisah kegilaan watak David Axelrod (novel) yang sangat dramatik tersebut, maka mungkin ia mendapat pujian. Namun begitu, Shana Feste menjahanamkan lagi kisahnya malahan lebih buruk dari filem versi arahan Franco Zeffirelli (1981) dahulu. Ini membuktikan bahawa tidak semua filem terkini ‘remake’ dari Hollywood akan semestinya hebat?

KESIMPULAN

Kalau anda dan pasangan kekasih, dengan suami atau isteri hanya mahu menonton filem cinta yang mudah dilupakan selepas keluar dari panggung, Endless Love (2014) ini ialah pilihan yang paling sesuai. Oh ya! Filem ini tidak mengandungi lagu cinta hebat ‘Endless Love’ nyanyian Lionel Richie dan Diana Ross yang sangat meletup di tahun 1981 dahulu.

Saya hanya mampu berikan sahaja 1 BIJI ROTIKAYA.