fbpx

Zul Huzaimy Tak Setuju Pelakon Buat Kelas Lakonan, Rosakkan Industri Seni

Pelakon versatil, Zul Huzaimy berpendapat pelakon yang tidak mempunyai kelayakan akademi mahupun pernah merangkul anugerah membuat kelas lakonan boleh merosakkan industri seni.

Kata Zul lagi, bakat dan pengalaman sahaja tidak memadai untuk membolehkan seseorang pelakon bergelar guru apatah lagi setiap lakonan memerlukan teknik yang berbeza.

BACA: Di Sekitar Majlis Pernikahan Zul Huzaimy & Nur Ernawati

“Tidak semua perkara yang diajar pengarah boleh diguna pakai apabila memasuki lokasi penggambaran lain. Ada yang mungkin hanya sesuai dibawakan pada ketika itu sahaja, tetapi jika masuk ke set drama lain, karakter sudah tidak relevan digunaka,” katanya.

Menutu Zul, dia bimbang apabila melihat kelas lakonan daripada mereka yang kurang bertauliah semakin banyak dianjurkan kerana ia boleh merosakkan industri seni.

“Saya terkejut apabila ada yang tidak mengundang tenaga pengajar lain, sebaliknya mengendalikan semua kelas. Saya sendiri tidak akan mengajar seorang diri, lebih selesa mengundang mereka yang lebih pakar untuk bahagian tertentu.

“Melainkan memang berpengalaman dan berbakat, itu tidak perlu dipersoalkan seperti Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud. Mereka layak berkongsi ilmu dengan pelapis baharu dalam bidang lakonan,” katanya.

Dalam pada itu, Zul turut berkata tidak ada salahnya jika selebriti media sosial menceburi bidang lakonan kerana ia berbalik pada soal rezeki dan permintaan stesen televisyen. Namun, mereka perlu mempersiapkan diri dengan ilmu lakonan terlebih dahulu.