Penyanyi Datuk Ziana Zain berkata meskipun dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk namun tidak mengubah kehidupannya.
Memetik mStar Online, Ziana berkata darjah kebesaran tersebut adalah satu bentuk penghargaan buat perjalanan seninya serta meluahkan rasa syukur.
BACA: Ziana Zain Kini Bergelar Datuk
“Perubahan diri saya tiada yang beza, saya tetap seperti dulu. Cuma mungkin cara orang menyapa atau memanggil saya dengan glaran ‘Datuk’. Bila sudah diberi pengiktirafan, kita terima dan bersyukur kerana ini adalah penghargaan terhadap perjalanan kerjaya saya.
“Bagi saya gelaran ini ibarat pangkat di sekolah seperti pengawas atau ketua pengawas. Apa yang penting kita perlu menjaga keberibadian dan cara kita membawa diri bersama masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Ziana berkata rutinnya masih sama dan penampilannya tetap bersahaja meskipun kini bergelar Datuk.
“Saya masih pergi ke pasar malam, minum di kedai kopi atau warung mamak. Kalau dari dulu kita dah terbiasa membawa diri dengan baik, kita tidak akan rasa kekok,” katanya.
Pada Ogos lalu, Ziana menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Sumber: mStar Online