fbpx

Zaki, Yamani Hadiahkan Wang Kemenangan RM100,000 Pada Ibu

Bergelar juara program Famili Duo musim kedua, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani mahu menghadiahkan wang kemenangan RM100,000 dimenangi mereka kepada ibu masing-masing.

Memetik Utusan Online, Yamani berkata tanpa sokongan serta doa daripada ibu mereka tidak mungkin dia dan Zaki mampu meraih kejayaan tersebut.

BACA: Jamal Abdillah Bahagia Dapat Jumpa Zaki Yamani

“Selama ini, ibu adalah antara penyokong utama dalam kerjaya seni. Tak putus-putus bagi semangat dan mendoakan kami.

Jadi, kami mahu mendedikasikan kemenangan ini buat kedua-dua ibu kami termasuk semua wang kemenangan yang diraih. Kami percaya, jika kami buat begitu, rezeki buat kami akan lebih melimpah, Insya-Allah,”katanya.

Sementara itu, Zaki dan Yamni terharu apabila bapa mereka, Datuk Jamal Abdillah hadir menyaksikan persembahan mereka di pentas final program berkenaan. Ujarnya lagi, kemenangan itu juga adalah buat bapa mereka yang sentiasa memberikan semangat kepada mereka.

“Itu merupakan kali pertama babah datang tengok kami buat persembahan. Memang sebak dan terharu. Tetapi ia juga membuatkan kami rasa gementar sebab dia ada di depan mata.

“Kemenangan ini juga kami dedikasikan buat babah sebab sepanjang menyertai program ini, dia juga selalu titip pesanan dan semangat buat kami berdua.

“Malah, beberapa hari sebelum persembahan final semalam, dia berulang kali menyakat, ‘Man, kau dan Zaki kena menang kalau nak babah datang tengok di final’.

“Tak sangka, kami betul-betul menang jadi ada sebab untuk kami berasa bangga dengan kejayaan ini yang juga untuk dia,”katanya.

Untuk rekod, Yamani adalah hasil perkahwinan Jamal dengan Noraina Mohd Yusof manakala Ahmad Zaki adalah daripada perkahwinan ketiganya dengan Fatimatuzahrah Samad.