fbpx

Yusof Haslam Dituduh Curang, Isteri ‘Lari’ Rumah Sebulan

Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam mendedahkan lagu nyanyian kumpulan Kopratasa berjudul ‘Permataku’ mempunyai makna cukup mendalam buat dirinya dan isteri, Datin Patimah Ismail.

Memetik Harian Metro, sempena ulang tahun perkahwinannya yang ke-41, Yusof mendedahkan isterinya pernah menghilangkan diri selama sebulan berikutan ada khabar angin tidak benar mengatakan dia curang.

BACA: Yusof Haslam, Patimah Reda Jika Syamsul Tak Mahu Lagi Balik Rumah

Menurut Yusof lagi, ketika ketiadaan isterinya itu dia yang menguruskan anak-anak yang masih kecil bersama pembantu peribadi. Menurutnya, dia tidak melakukan perkara tersebut sebaliknya hanya khabar angin yang bertebaran.

“Akibat salah sangka isteri saya merajuk dan membawa diri ke sebuah sekolah pondok di Pokok Sena, Kedah bagi mendalami ilmu agama. Ketika itu, saya dan keluarga buntu kerana tidak tahu ke mana lokasi isteri saya melarikan diri. Waktu itu, telefon bimbit pun dia tak bawa.

“Sudahlah ketika itu anak-anak masih kecil dan kami baru saja pindah ke rumah baru. Apabila terkenang segala usaha dan penat lelah membina rumah ini, saya nekad untuk mempertahankan rumah tangga ini walau apa saja dugaan yang datang.

“Nak dijadikan cerita satu hari ketika saya selesai solat Subuh dan duduk di balkoni rumah, saya terdengar lagu Permata Untuk Isteri dari pondok keselamatan. Tanpa saya sedar air mata saya berguguran jatuh dan lagu itu begitu menyentuh jiwa saya,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Yusof bersyukur hasil bantuan bapa mentuanya dia berjaya menemui dimana isterinya berada dan mengajaknya pulang ke rumah walaupun proses memujuk memakan masa bertahun.

“Pada awalnya dia masih ‘keras’, tapi Alhamdulillah selepas saya meyakinkan dia dengan mengatakan sekiranya saya melakukan dosa besar pasti Tuhan tidak akan menyelamatkan saya termasuk bersikap jujur dalam perhubungan jika nak rezeki sentiasa melimpah.

“Kebetulan waktu itu filem Gerak Khas The Movie nak tayang di pawagam. Isteri saya pun terus perli dengan mengatakan biasanya filem saya selalu mendapat sambutan, jadi dia nak tengok sama ada filem ini berjaya atau tidak.

“Alhamdulillah dengan izin Allah dan saya bertegas dengan pendirian tidak melakukan hal yang tidak baik di belakangnya, filem itu sukses apabila meraih kutipan pecah panggung,” katanya.

Untuk rekod, Yusof dan Patimah mendirikan rumah tangga pada tahun 1982 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata serta lima cucu.

SUMBER: Harian Metro