fbpx

Yusof Haslam Dilantik Kali Kedua Pantau SPRM Bantu Tangani Rasuah

Pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam dilantik menjadi ahli Panel Perundingan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali kedua semalam.

Memetik laporan Malaysia Kini, pelantikannya itu adalah untuk membantu menangani rasuah dalam semua bidang meskipun beliau dari latar belakang perfileman. Dalam pada itu, Yusof Haslam mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberikan kepercayaan kepadanya.

“Terima kasih di atas pelantikan ni dan pihak yang telah memberi kepercayaan kepada saya.

“Saya dilantik bukan khusus untuk pantau bidang perfileman semata-mata, tapi merangkumi semua bidang secara umum,” katanya kepada Malaysiakini.

Difahamkan, ini bukanlah kali pertama buat penerbit drama siri Gerak Khas itu dilantik mengaggotai lembaga penasihat itu. Yusof Haslam pernah menganggotai PPPR pada 15 Ogos 2016 hingga 14 Ogos 2017 ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sebelum ini di bawah Najib Razak sebagai perdana menteri, tetapi sekarang dengan Muhyiddin Yassin,” katanya.

Semalam, SPRM mengumumkan 24 ahli badan bebas. Selain 12 ahli PPPR, turut dilantik adalah tujuh ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan lima ahli Panel Penilaian Operasi, melibatkan mereka daripada pelbagai bidang.

Semalam, seramai 12 ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan lima ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) turut dilantik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara pentadbiran.