Pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mahu menghulurkan bantuan RM380,000 buat mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights.
Memetik BH Online, Yusof berkata niatnya itu dinyatakan selepas filem filem Blood Brothers terbitan Skop Production berjaya meraih kutipan lebih RM62 juta.
BACA: Yusof Haslam Nasihat Syamsul Cari Pasangan Hidup
Menurut Yusof lagi, dia turut bersimpati apabila ada rumah beberapa rakannya turut terjejas dalam kejadian berkenaan.
“Ketika filem ini mahu ditayangkan, tragedi letupan gas baru berlaku. Saya simpati apabila ada rumah kawan-kawan saya terjejas akibat kejadian itu.
“Saya juga ada melihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menghulur sumbangan kepada mangsa. Justeru, saya bincang dengan isteri niat jika kutipan filem ini lebih daripada Sheriff: Narko Integriti, kita akan hulur sumbangan.
“Kita akan keluarkan RM380,000 sebagai pemberian ikhlas saya. Insya-Allah, kita laksanakan akhir bulan ini. Mungkin melalui tabung diusahakan TV3 atau cara lain, iaitu menggunakan saluran pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Sementara itu, Yusof berkata dia percaya setiap rezeki yang Allah berikan ada rezeki orang lain yang perlu dikongsikan bersama.
“Apabila Allah beri kita rezeki, bukan untuk kita sahaja. Kita ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Sebelum ini, ada juga orang dalam kesusahan datang rumah saya sepanjang Ramadan minta bantuan. Kita beri apa yang kita mampu.
“Malah, ada yang berhutang dengan ceti, datang rumah minta bantuan. Bagi tidak menghampakan mereka, kita bantulah seikhlas hati,” katanya.
SUMBER: BH Online